Sabtu, 6 Januari 2024 | 5:09pm

Rugi RM2.8 juta terpedaya pelaburan koperasi 'patuh syariah'

KUALA LUMPUR: Sebuah koperasi berselindung di sebalik konsep patuh syariah untuk mencari mangsa dengan menjadikan mereka sebagai ahli, sebelum ditawar melabur dalam pelbagai pakej disediakan.

Taktik itu digunakan koperasi terbabit yang beroperasi di Kota Bharu, Kelantan dengan kebanyakan mangsa yang terjerat terdiri pesara dan petugas kerajaan.

Antaranya termasuk 26 mangsa yang tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) hari ini, selepas mendakwa mengalami kerugian mencecah RM2.8 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pelbagai bentuk pelaburan ditawarkan kepada mangsa menggunakan nama dan syarikat sendirian berhad, sedangkan kegiatan dikuasai sepenuhnya ahli lembaga koperasi itu.

Katanya, syarikat sendirian berhad adalah pelaksana 10 jenis skim pelaburan ditawarkan bagi mengaburi mata dan mengelirukan mangsa.

"Berdasarkan aduan diterima, pelabur mendakwa tidak pernah melihat atau dikemukakan rekod atau produk pelaburan yang ditawarkan koperasi itu.

"Pakej pelaburan ditawarkan syarikat juga tidak munasabah dengan mangsa mendakwa tidak pernah menerima bayaran dividen dijanjikan.

"Perbuatan ini tidak adil dan melampau kerana ada antara mangsa menggunakan wang simpanan mereka untuk melabur, namun menjadi mangsa penipuan," ," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hishamuddin menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara telus ke atas koperasi serta syarikat berkenaan yang sewenangnya menggunakan wang pelaburan daripada mangsa.

"Ramai mendakwa menjadi mangsa dan laporan polis yang dibuat mereka juga diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan rujuk agensi lain (ROA) oleh pegawai penyiasat.

"Mereka ini (pegawai penyiasat) memberi alasan tindakan itu (NFA dan ROA) kerana mangsa mempunyai perjanjian serta menerima sebahagian dividen mereka.

"Ia tidak adil kepada mangsa kerana kita dapati kes ini jelas mempunyai elemen penipuan dan pecah amanah," katanya.

Hishamuddin (tengah) bersama mangsa penipuan yang mendakwa kerugian selepas terpedaya pakej pelaburan disediakan ‘koperasi’ berpangkalan di Kota Bharu.
Hishamuddin (tengah) bersama mangsa penipuan yang mendakwa kerugian selepas terpedaya pakej pelaburan disediakan ‘koperasi’ berpangkalan di Kota Bharu.
Berita Harian X