Sabtu, 6 Januari 2024 | 4:08pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua dari kanan) melepaskan peserta Media Hunt sempena #McLive 7.0 anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam di UiTM Cawangan Melaka, Alor Gajah, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua dari kanan) melepaskan peserta Media Hunt sempena #McLive 7.0 anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam di UiTM Cawangan Melaka, Alor Gajah, hari ini. - NSTP/AMIR MAMAT

Ketua Menteri pelawa UiTM bekerjasama tingkat imej Melaka

ALOR GAJAH: Melaka mengalu-alukan penyertaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam perkongsian ilmu, khususnya bidang kesenian dan kebudayaan yang boleh membantu meningkatkan lagi imej negeri ini sebagai negeri pelancongan unggul, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Justeru, beliau mempelawa UiTM untuk terbabit secara langsung dalam memeriahkan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ketika ini, termasuk menggunakan kebolehan pelajarnya dalam bidang seni dan rekaan.

"Boleh lukis mural di beberapa bangunan dalam kawasan tumpuan umum di bandar raya Melaka. Saya galakkan pembabitan pelajar UiTM dari tiga kampus yang ada di Melaka ini untuk meluaskan pengalaman bersama kerajaan negeri dalam mempromosikan TMM2024," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan #MCLIVE 7.0: Wahana Komunikasi dan Penerbitan anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (MassComm) UiTM Shah Alam di UiTM Cawangan Melaka, Lendu, di sini hari ini.

Ab Rauf yang turut melepaskan kira-kira 100 peserta Media Hun pada majlis sama, berkata nilai seni dan budaya dalam kalangan pelajar UiTM boleh diterjemahkan melalui gubahan pantun baharu untuk dipaparkan di sepanjang jalan ke bandar Melaka.

"Sebelum ini kita sudah menganjurkan pertandingan Satu Kampung Satu Pantun, Satu Daerah Satu Pantun dan Satu Sekolah Satu Pantun. Kini kita mahu pelajar UiTM sendiri cipta pantun menarik dan unik sebagai tarikan ke negeri ini, sekali gus dapat pertahan nilai budaya dan warisan kita," katanya.

Ketua Menteri juga melahirkan rasa bangga kerajaan negeri apabila UiTM tersenarai dalam kedudukan terbaik kalangan universiti di dunia.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri menawarkan pelajar universiti berkenaan untuk terbabit secara langsung sebagai urusetia pada Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 sempena Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day (WTD) 2025 yang diadakan di negeri ini.

"Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD2025 selama seminggu dengan penyertaan 155 negara, justeru saya menjemput UiTM bekerjasama sebagai urusetia supaya dapat mendedahkan pelajar mereka kepada program bertaraf antarabangsa," katanya.

WTD 2025 dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bertemakan `Tourism and Sustainable Transformation'. Ia bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi sejagat.

Berita Harian X