Jumaat, 5 Januari 2024 | 7:06pm
Pengawal keselamatan, K Kittu atau lebih mesra disapa ‘Uncle Kittu’ (tengah) kini kembali bertugas di SK Bandar Baru Putera, Ipoh. - Foto fail BERNAMA
Pengawal keselamatan, K Kittu atau lebih mesra disapa ‘Uncle Kittu’ (tengah) kini kembali bertugas di SK Bandar Baru Putera, Ipoh. - Foto fail BERNAMA

Warkah murid dorong 'Uncle Kittu' kembali bertugas sekolah lama

IPOH: Surat yang ditulis oleh murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Putera di sini menjadi antara pendorong kepada pengawal keselamatan, K Kittu, 50, atau lebih mesra disapa 'Uncle Kittu' untuk kembali bertugas di sekolah itu.

Kittu yang sepatutnya berpindah ke tempat baharu hujung tahun lalu berkata beliau sangat gembira apabila melihat wajah murid di sekolah itu yang turut bergembira dengan kehadiran semula dirinya.

"Anak saya pun ada cakap, "ayah pergi sahaja bekerja di sana (SK Bandar Baru Putera). Anak-anak murid pun ada tulis macam-macam seperti "uncle janganlah pergi" dan "uncle mari sini kerja."

"Saya baca surat-surat itu pun mahu menangis. Jadi saya pun buat keputusan untuk kembali bekerja di situ," kata bapa kepada empat cahaya mata yang berasal dari Taiping itu hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Bernama melaporkan perbezaan warna kulit dan agama tidak menjadi tembok penghalang Kittu menjalin hubungan akrab serta melayan kerenah ratusan murid SK Bandar Baru Putera yang rata-ratanya terdiri dalam kalangan bangsa Melayu.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 13 saat menerusi media sosial memaparkan murid sekolah berkenaan bersalam dan memeluk sambil memberikan hadiah kepada Kittu dalam satu majlis perpisahan yang dianjurkan sekolah itu.

Pada masa sama, Kittu berkata sekembalinya bertugas di sekolah tersebut pada 1 Januari lalu, murid-murid juga meminta beliau "berjanji" supaya tidak berpindah ke tempat lain.

Kittu berkata beliau juga amat terharu dengan undian yang dilakukan pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan yang memihak kepadanya supaya kembali bertugas.

"Mereka panggil saya untuk bekerja semula di sini. Ada orang yang cakap, keadaan agak kelam-kabut tanpa saya apabila anak-anak mereka nak melintas jalan sebab kalau saya ada, selalunya saya minta anak-anak murid tunggu di pondok sini dan kawal lalu lintas untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Kittu berkata beliau sepatutnya berpindah ke sebuah sekolah di Klebang di sini kerana telah berpindah rumah ke kawasan Klebang Restu, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, penantian Kittu untuk mendapat lokasi baharu bertugas sebagai pengawal keselamatan akhirnya terjawab pada hujung tahun lepas apabila mendapat panggilan daripada SK Bandar Baru Putera untuk kembali bekerja di situ sehingga hujung tahun ini.

Menurutnya, guru-guru di sekolah tersebut juga menyarankan supaya Kittu diambil semula bertugas sebagai pengawal keselamatan kerana mempunyai rekod yang baik dalam menjalankan tanggungjawabnya itu.

"Cikgu-cikgu di sini pun sukakan (cara bekerja) saya. Saya berasa sangat gembira kerana dulu saya kerja bawa lori sahaja sebelum patah tangan dan tidak boleh buat kerja berat.

"Apabila kerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah ini dan lihat anak murid juga menghormati saya, saya lebih suka bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Selain itu, Kittu berkata beliau bercadang untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan hingga umur 60 tahun.

- BERNAMA

Berita Harian X