Khamis, 4 Januari 2024 | 1:16pm
Program BizNita bantu Noorwara Eliya miliki peralatan menjalankan khidmat spa. - Foto ihsan Noorwara Eliya
Program BizNita bantu Noorwara Eliya miliki peralatan menjalankan khidmat spa. - Foto ihsan Noorwara Eliya

Mahu buka pusat jagaan ibu bersalin

IPOH: Memiliki status ketauliahan, pengalaman dan pengetahuan amat penting bagi pengamal penjagaan ibu bersalin atau postnatal pada masa kini.

Menyedari hal ini, Noorwara Eliya Zakaria, 42, yang berkecimpung menjalankan khidmat spa bergerak bagi penjagaan ibu selepas bersalin dan berpengalaman 19 tahun dalam bidang ini sentiasa mengambil inisiatif meningkatkan diri.

Beliau yang sedang mengikuti Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dalam bidang perawatan postnatal, turut bercita-cita mahu membuka sebuah pusat jagaan ibu bersalin sendiri suatu hari nanti.

Katanya, ini berikutan perkhidmatan atau bidang ini kurang diteroka Bumiputera sedangkan, permintaan urutan tradisional khususnya, agak tinggi terutama di kawasan bandar.

"Permintaan urutan tradisional ini juga agak tinggi di kawasan Ipoh, namun tidak ramai Bumiputera menceburinya. Ini mungkin tiada kemahiran dan pengetahuan mengenai urutan selepas bersalin.

"Bagi individu yang ingin menawarkan perkhidmatan itu memang sewajarnya mempunyai pengetahuan mencukupi," katanya yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang urutan terapi.

Menurut Noorwara Eliya, kemahiran mengurut diwarisi daripada arwah ibunya yang juga bidan tradisional, sejak beliau masih menuntut di bangku sekolah.

Ibu kepada tiga anak berusia 18 hingga 21 tahun ini berkata, dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada beliau menjalankan perkhidmatan spa bergerak atas jenama Elz Mobile Spa.

Katanya, perkhidmatan spa bergerak diusaha dan bergerak di sekitar Pengkalan, Ipoh menawarkan khidmat urutan selepas bersalin dan juga perkhidmatan lain termasuk urutan terapi, mandi bunga, bekam, urutan naik seri, urutan kesihatan, dan penjagaan ibu serta anak dalam pantang.

"Saya belajar mengurut daripada arwah emak ketika di Tingkatan 4, sebelum mengikuti pengajian tahap sijil SKM selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain SKM saya juga ada mengikuti beberapa program serta kursus lain yang kemudiannya, memperkenalkan saya dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui Kelab Wanita Ikon Malaysia.

"DKM Tahap 4 yang sedang saya ambil adalah bagi membolehkan saya memperoleh pengiktirafan seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus membolehkan saya meneruskan impian membuka pusat jagaan wanita berpantang sendiri kelak," katanya kepada BH.

Katanya, pembabitan dalam kelab bersama JPW sehingga hari ini, turut membolehkan dia memperoleh bantuan melalui Program Pengupayaan Ekonomi Wanita (BizNita) kelolaan agensi kerajaan negeri iaitu Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) berjumlah kira-kira RM3,000 dalam bentuk peralatan bagi mengendalikan perniagaan.

Katanya, bantuan berkenaan diperolehnya tahun lalu sedikit sebanyak membantunya menampung memiliki keperluan peralatan dalam menjalankan perkhidmatan spa diusahakan, antaranya kelengkapan sauna mudah alih, kerusi bertangas, bagasi untuk membawa peralatan mengurut, set bekam dan katil khas bagi urutan.

"Sebelum itu saya pernah memohon bantuan namun tidak melepasi kelayakan. Alhamdulillah, melalui program BizNita saya berjaya memperoleh bantuan dan memudahkan perjalanan perniagaan.

"Dengan bantuan tambahan peralatan itu ia melancarkan perkhidmatan yang saya tawarkan kepada pelanggan. Contohnya, dalam satu masa saya dapat banyak tempahan pelanggan, tetapi agak sukar sekiranya saya hanya ada satu set barangan untuk mengambil tempahan lain. Namun, dengan peralatan baharu saya boleh meninggalkan barangan itu seketika di rumah pelanggan, lalu menggunakan set peralatan lain di rumah pelanggan seterusnya," katanya.

Di bawah pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Wanita Perak (Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak) diletakkan sebagai antara agensi peneraju dalam mencapai sasaran agenda 1 Warga 1 Skil dan 1 Keluarga 1 Usahawan di bawah 'flagship' Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Berita Harian X