Khamis, 4 Januari 2024 | 12:02pm
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - NSTP/Asyraf Hamzah

SPRM perlu tumpu usaha hapus akar umbi rasuah

KUALA LUMPUR: Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengubah pendekatan dalam tindakan, iaitu fokus kepada punca gejala itu pada peringkat akar umbi atau pemberi rasuah.

Pengerusinya, Tan Sri Borhan Dolah, berkata jenayah rasuah tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika agensi penguatkuasaan hanya fokus tangkapan kecil dan tidak menumpaskan sumber atau akar umbi punca gejala terbabit.

Beliau berkata, untuk memastikan kejayaan menumpaskan rasuah, fokus perlu diberikan kepada punca di akar umbi dan bukannya dahan atau ranting, yang sebaliknya boleh dijadikan saksi bagi mengheret sumber atau punca rasuah untuk pendakwaan.

Mengakui SPRM sudah berusaha sebaiknya dalam penguatkuasaan dan tidak mudah berdepan dengan punca atau akar umbi rasuah, Borhan menegaskan, masih banyak boleh diteroka agensi itu untuk meningkatkan keberkesanan tindakan .

"SPRM diharap punya lebih tekad dan keberanian dalam berdepan sumber atau pihak pemberi rasuah ini. Tak boleh pergi kepada angka sahaja, contohnya tangkap 20 penjawat awam, jumlah itu nampak besar, statistik meningkat, tapi pemberi rasuah atau puncanya terlepas, maka rasuah akan terus berleluasa.

"Kenapa tidak jadikan 20 penjawat awam itu sebagai saksi dan tangkap sumber atau punca pemberi rasuah, jadi sumber yang lain akan takut untuk memberi rasuah. Kita tidak boleh bermain dengan angka sahaja.

"Ini tidak, potong ranting, sekejap lagi tumbuh ranting baharu, akarnya akan tetap memberi rasuah kepada kumpulan ranting baharu nanti. Kenapa tidak tahan pemberi rasuah dan jadikan penerima rasuah sebagai saksi.

"SPRM perlu tumpu kepada punca dan sumber rasuah. Kalau ranting atau dahan, kita potong, pada masa akan datang, keluar lagi banyak," katanya kepada BH sambil menegaskan, SPRM perlu lebih taring dan ruang untuk 'menjejak' punca rasuah hingga ke akar umbi.

Borhan menegaskan, rasuah boleh ditangani jika ia ditumpaskan pada peringkat sumber atau akar umbi kerana tanpa pemberi, tiada penerima.

"Produktiviti SPRM tidak boleh diukur melalui bilangan tangkapan, apa yang lebih penting tahap kebesaran kes itu.

"SPRM perlu menunjukkan tahap efektif dengan mendapatkan jumlah tangkapan yang ramai, tapi pada saya, lebih baik dapat satu (tangkapan), tapi dapat punca rasuah berbanding tangkap 20 untuk nampak produktif," katanya.

Katanya, tangkapan SPRM dilihat banyak membabitkan penjawat perkhidmatan awam kerana tindakan terhadap sektor itu lebih mudah berbanding swasta.

"Apabila anda kata tangkapan SPRM banyak membabitkan perkhidmatan awam, seolah-olah penjawat awam paling banyak korup, tetapi pada saya paling banyak korup adalah sektor swasta, tetapi siapa peduli," katanya.

Berhubung aspek penambahbaikan, Borhan berkata, PPPR melihat peningkatan teknologi boleh mengurangkan rasuah, termasuk pelaksanaan sistem perkhidmatan melalui dalam talian, berbanding kaedah manual.

Teknologi dalam talian boleh mengurangkan campur tangan manusia yang membuka ruang kepada rasuah. Contohnya dalam sesuatu urusan yang sebelum ini dilakukan secara manual, boleh menyebabkan kewujudan 'ulat' atau orang tengah yang perlu dibayar untuk memudahkan urusan.

"Namun apabila adanya sistem (dalam talian), ia akan potong peranan 'ulat' ini. Urusan boleh buat dengan hujung jari," katanya.

Belum terlambat

Sementara itu, Bekas Pengarah Operasi Siasatan Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin, berkata Malaysia belum terlambat untuk memperkasakan suruhanjaya itu, dengan 'membebaskannya' di bawah Parlimen yang berperanan menjadi penapis.

Beliau berkata, namun misi itu hanya boleh direalisasikan jika semua pihak 'berlapang dada' ingin memastikan SPRM benar-benar berfungsi tanpa condong kepada mana-mana pihak.

"Bebaskan SPRM sebebas-bebasnya. Biarlah Parlimen menjadi penapisnya, selain hanya melantik mereka yang cekap dalam melaksanakan tugas.

"Kita boleh lihat sebelum ini, SPRM satu-satunya pihak berkuasa yang terbukti melakukan siasatan tanpa memilih bulu, ada kes yang dianggap ikan bilis dan ada yang dianggap jerung ganas.

"Malah, SPRM juga membuktikan mampu menyiasat seorang pemimpin yang sedang berkuasa dengan adanya pegawai yang berani, namun kita tidak menafikan wujud juga pegawai yang pengecut dan terpengaruh dengan pihak tertentu," katanya.

Bahri berkata, tohmahan bahawa SPRM berat sebelah, tidak adil dan dicucuk hidung oleh pemimpin, selain menyasar pihak tertentu sahaja adalah tidak benar, sebaliknya ia berlaku berikutan kegagalan suruhanjaya itu sendiri menerangkan kedudukan sebenarnya kepada rakyat.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, pula berpendapat SPRM perlu menumpukan terhadap aspek pencegahan secara menyeluruh, dengan tidak hanya memfokuskan terhadap sesuatu perkhidmatan sahaja.

Beliau berkata, tahap pencegahan SPRM masih tidak menyeluruh dengan sasaran hanya tertumpu pada perkhidmatan awam dan ahli politik sahaja.

"Bagaimana dengan ahli perniagaan yang besar-besar, atau agensi swasta? Kita lihat sasaran mereka adalah penjawat awam atau yang menerima rasuah.

"Sedangkan pemberi rasuah juga perlu dikenakan tindakan...apabila tumpuan diberikan secara menyeluruh, barulah adil," katanya.

Pada masa sama, Shahul Hamid berkata, penekanan harus juga diberikan kepada pemberi rasuah kerana berdasarkan Akta SPRM 2009 tindakan boleh dikenakan kepada kedua-dua pihak.

"Akta sedia ada sudah mencukupi, tidak perlu dipinda tinggal lagi SPRM perlu 'menukar' taktik dengan turut mengenakan tindakan terhadap pemberi rasuah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan SPRM mempunyai bidang kuasa yang mencukupi namun perlu berhati-hati dalam aspek pelaksanaan tindakan.

Katanya, suruhanjaya itu perlu diberikan kebebasan secukupnya dan tidak boleh berada dalam tekanan politik untuk memastikan semua tindak tanduknya dapat dilaksanakan secara telus dan tepat.

"Bila adanya tekanan, SPRM tidak boleh menyiasat secara tepat, agensi itu perlu diberikan kebebasan sepenuhnya dalam melakukan siasatan," katanya.

Selain itu, Shahul Hamid berkata, dalam memantapkan operasi SPRM, suruhanjaya itu dicadang supaya merujuk konsep penguatkuasaan dalam jenayah rasuah dilaksanakan negara luar seperti Sweden, Denmark dan Singapura.

Beliau berkata, agensi rasuah di negara terbabit dilihat lebih telus dalam melaksanakan siasatan dan tangkapan sehingga kadar jenayah dalam aspek berkenaan mereka direkodkan kurang daripada satu peratus.

Berita Harian X