Khamis, 4 Januari 2024 | 11:28am

Projek pertanian 'Abang Bomba' mula keluarkan hasil

ALOR SETAR: Kejayaan tanaman nanas yang diusahakan sejak tiga tahun lalu, mendorong anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar di sini, meneruskan projek pertanian mereka dengan tanaman buah-buahan serta sayuran dalam kawasan balai.

Setakat ini, 100 rumpun tanaman pisang yang diusahakan seperti pisang awak, nangka, emas dan tanduk juga sudah mula mengeluarkan buah.

Malah, pokok nangka yang ditanam di belakang balai itu juga sudah turut mengeluarkan buah sulung, selain tanaman tebu yang dijangka boleh dipasarkan pada Ramadan ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Ahmad Naufal Abdullah, berkata pokok durian, manggis dan buah tin juga turut ditanam di kawasan tanah lapang belakang balai seluas 0.5 hektar.

Beliau berkata, projek pertanian ini dilakukan pada ketika waktu lapang dan jika tiada operasi.

Anggota bomba memotong serai di kawasan kebun tanaman di belakang balai berkenaan
Anggota bomba memotong serai di kawasan kebun tanaman di belakang balai berkenaan

"Sebenarnya kami bermula dengan projek tanaman ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19 pada 2020. Ketika itu kurang pergerakan keluar, jadi kami gunakan masa yang terluang untuk menanam nanas serta beberapa jenis sayuran.

"Ia juga memberi peluang kepada anggota yang sudah berusia dan tidak mampu menyertai aktiviti bersukan melakukan aktiviti pertanian ini.

"Ini juga salah satu cara untuk mengeluarkan peluh dan jika ada kelapangan, anggota yang tidak mempunyai tugas ketika itu, datang untuk menyiram pokok atau membuang daun atau dahan yang sudah rosak di kebun tanaman kami ini," katanya ketika ditemui di BBP Alor Setar, hari ini.

Ahmad Naufal berkata, aktiviti berkebun ini juga adalah antara sebahagian daripada kempen bumi hijau dan sekali gus turut menjadikan kawasan balai bomba ini sebagai "dusun dalam bandar."

Katanya, apabila tiba musim buah-buahan nanti, anggotanya boleh mengambil hasil yang diusahakan sama ada untuk makan di kalangan mereka atau pun menjual di kawasan penduduk berhampiran sini.

"Kami turut mengusahakan tanaman serai, ubi kayu, lengkuas, petola, dan buah markisa yang masing-masing sudah mengeluarkan hasil.

"Buat permulaan, kami menjual hasil keluaran tanaman yang diusahakan ini hanya di kalangan anggota bomba sahaja dan jika ada yang lebih, kami akan jual pada sahabat atau kenalan dari luar di kawasan balai saja.

"Wang pendapatan yang diperoleh hasil berkebun ini digunakan untuk aktiviti atau program di peringkat balai yang kami jalankan, "katanya.

Ahmad Naufal berkata, projek tanaman yang mereka usahakan itu turut mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

Katanya, selain tanaman, mereka juga turut memelihara 300 ekor ikan talapia merah di kolam bahagian belakang balai itu yang turut dijadikan sumber pendapatan untuk anggota balai.

"Ikan talapia merah yang dipelihara di sini juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan selepas dua atau tiga bulan kemudian, ia sudah mampu dijual di kalangan anggota bomba yang berhasrat untuk membelinya.

"Sebagai ketua di balai ini, sudah tentu saya ingin melihat keseronokan anggota saya bukan saja menjalankan tugas hakiki setiap hari tetapi juga aktif melakukan aktiviti berkebun yang boleh membuahkan hasil," katanya.

Ahmad Naufal berkata, sepanjang tahun lalu, BBP Alor Setar mencatatkan rekod apabila hampir 10,000 pengunjung termasuk pelajar sekolah, murid tadika, orang perseorangan serta agensi swasta dan kerajaan datang ke balai itu untuk lawatan termasuk melihat projek pertanian yang dijalankan di situ.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim, berkata pihaknya memberi galakan dan dorongan kepada setiap BBP di Zon 1 yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti tanaman di kawasan balai.

Beliau berkata, selain BBP Alor Setar, BBP Pendang, Pokok Sena dan Kuala Nerang juga adalah antara yang aktif melakukan aktiviti pertanian di kawasan balai.

Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Ahmad Naufal Abdullah melihat sayur petola yang ditanam di belakang kawasan balai itu yang sudah mengeluarkan hasil
Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Ahmad Naufal Abdullah melihat sayur petola yang ditanam di belakang kawasan balai itu yang sudah mengeluarkan hasil
Berita Harian X