Rabu, 3 Januari 2024 | 5:51pm
Peguam, Rosli Dahlan
Peguam, Rosli Dahlan

Peguam cabar penahanan, pembekuan akaun bank dan sekatan ke luar negara

KUALA LUMPUR: Peguam Rosli Dahlan mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar penahanannya pada Oktober tahun lalu, pembekuan akaun bank dan arahan sekatan perjalanan ke luar negara.

Dalam permohonan itu, Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa salah dan menyalahgunakan kuasa dengan mengaitkannya dengan satu laporan polis.

Katanya, laporan mengenai aduan Air Asia Berhad terhadap i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve) itu tidak mempunyai kaitan dengannya.

Rosli memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Disember lalu melalui Tetuan Vin Law Co dengan menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf; Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urusetia Ketua Polis Negara (UKPN) PDRM, Datuk Muhammad Hasbullah Ali sebagai responden pertama hingga ketiga.

Pemohon turut menamakan Timbalan Ketua AMLA UKPN PDRM, Asisten Komisioner Foo Wei Min; Pegawai Penyiasat AMLA UKPN PDRM, Superintendan Mohd Faizal Mohd Atan; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; PDRM, Jabatan Imigresen dan kerajaan sebagai defendan keempat hingga kesembilan.

Beliau turut memohon perintah supaya tindakan yang menyebabkan beliau ditangkap, ditahan dan direman pada 26 Oktober tahun lalu serta tindakan membekukan akaun banknya menyalahi undang-undang dan melanggar hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, peguam terbabit antara lain memohon perintah mandamus (mendesak) supaya responden pertama hingga kelima menyahbeku tujuh akaun banknya dan memohon Sekatan Keluar Negara yang dikenakan terhadapnya oleh Jabatan Imigresen, dibatalkan oleh mahkamah.

Selain itu, Rosli memohon perintah supaya beliau boleh menggunakan akaun banknya berjumlah RM50,000 sebulan bagi pembayaran hutang dan perbelanjaan lain untuk keluarga dan pekerjanya, selain menggunakan wang RM1.8 juta dari Unit Saham Amanah Saham Wawasan bagi membayar zakat.

Menerusi afidavit sokongan, Rosli mendakwa responden menyalahgunakan kuasa mereka untuk menganiayai dan mencemar nama baiknya sebagai peguam kerana beliau tiada kaitan dalam pengurusan dan operasi syarikat i-Serve.

Permohonan kebenaran Rosliditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Februari ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Berita Harian X