Rabu, 3 Januari 2024 | 4:56pm
Dr Wan Azizah (dua, kiri) ketika melawat ibu mangsa letupan serpihan bunga api, Milikiyah Fajar, 64, (kiri) di Pangsapuri Seri Perindu, Cheras hari ini. Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka manakala rakannya, 39, dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan. - Foto BERNAMA

Dr Wan Azizah beri sumbangan kepada keluarga mangsa letupan bunga api

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyampaikan sumbangan kepada keluarga dua beradik mangsa letupan bunga api di bahagian bumbung sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin lalu.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, menyampaikan sumbangan wang tunai di kediaman waris mangsa di Pangsapuri Seri Perindu, Cheras di sini.

"Kita akan tolong apa yang boleh. (Selain sumbangan wang tunai), kita juga bagi bantuan makanan untuk ahli keluarga mangsa selain akan cuba permudahkan urusan persekolahan anak-anak (mangsa)," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa.

Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Zon Bandar Tun Razak turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berharap semua pihak mengambil iktibar daripada tragedi itu dengan mengenal pasti bahaya serta risiko melibatkan bahan membakar seperti bunga api.

Dalam insiden Isnin lepas, Muhd Helmi Zulkifli, 40, maut manakala adiknya, Muhammad Pahzdlei Zulkifli, 39, cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan (JKKPNS) semalam memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api bagi sambutan ambang tahun baharu di hotel terbabit sebelum ia meletup secara tiba-tiba pada 11.50 pagi. - BERNAMA

Berita Harian X