Rabu, 3 Januari 2024 | 4:33pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Malaysia kuasai sektor makanan halal buat tahun ke-10

PUTRAJAYA: Malaysia kekal di tangga teratas buat tahun ke-10 berturut-turut bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata ia berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy 2023 yang dikeluarkan oleh Dinar Standards.

"Ini menunjukkan industri halal Malaysia semakin berkembang pesat berbanding negara lain.

"Pencapaian ini turut menyumbang kepada kedudukan Malaysia untuk mengekalkan tempat pertama daripada 81 negara bagi tahun ke-10 berturut-turut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, JAKIM menerima 15,605 permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sepanjang tahun lalu, meningkat empat peratus berbanding 14,977 permohonan yang diterima pada 2022.

Daripada keseluruhan permohonan yang diterima, Hakimah berkata, sebanyak 8,509 permohonan diluluskan membabitkan 132,106 produk dipersijilkan halal, dengan jumlah fi diterima ialah RM11.035 juta.

"Produk yang dipersijilkan halal meliputi skim produk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, bahan gunaan dan peranti perubatan," katanya.

Beliau berkata, JAKIM akan memastikan komitmen penuh diberi bagi memastikan pengurusan SPHM berada pada tahap terbaik dengan pelbagai inisiatif baharu dirancang dan dirangka bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia di peringkat global. – BERNAMA

Berita Harian X