Rabu, 3 Januari 2024 | 2:11pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat

PADU dapat kenal pasti perbelanjaan isi rumah secara terperinci

KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dapat mengenal pasti secara terperinci perbelanjaan isi rumah setiap bulan, tanggungan dan kos sara hidup mengikut lokasi tempat tinggal masing-masing.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata objektif utama PADU adalah menyediakan pangkalan data utama negara bagi membolehkan kerajaan memproses data itu untuk menentukan kelayakan individu menerima bantuan yang disediakan kerajaan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, katanya, PADU mampu mengurangkan ketirisan pemberian bantuan atau subsidi kepada golongan tertentu sahaja.

"Pemberian subsidi atau bantuan ini akan menjadi lebih menyeluruh dan tidak lagi berdasarkan pendapatan kasar semata-mata atau kelas-kelas tertentu seperti B40 atau M40.

"Jika sebelum ini tidak banyak bantuan diterima oleh kategori pendapatan M40 sedangkan kumpulan ini mempunyai jumlah tanggungan yang banyak, PADU akan memastikan mereka boleh mendapatkan bantuan terbabit berdasarkan data analitik yang diperoleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana memberikan kepercayaan kepada penjawat awam dalam membangunkan sistem PADU.

Katanya, usaha itu jelas membuktikan kemampuan penjawat awam dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara sekiranya diberi peluang serta ruang yang sepenuhnya.

"Sehubungan itu, CUEPACS mencadangkan satu bentuk insentif khas kepada penjawat awam yang terbabit dalam membangunkan projek besar kerajaan pada masa depan sebagai satu bentuk pengiktirafan serta galakan untuk mereka berusaha dengan lebih baik.

"Jika sebelum ini kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit kepada perunding antarabangsa, apalah sangat jika insentif khas itu diberikan kepada penjawat awam yang berjaya menghasilkan produk lebih mantap untuk perkhidmatan rakyat serta menjimatkan perbelanjaan kerajaan," katanya.

Sementara itu, CUEPACS turut memohon pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam disegerakan.

Katanya, umum mengetahui pelarasan gaji penjawat awam yang sedang dijalankan di bawah kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hanya akan dilaksanakan pada 2025.

"Tempoh itu terlalu lama dan tidak wajar memandangkan peningkatan kos sara hidup ketika ini yang meningkat begitu drastik berbanding pendapatan. Sudah hampir belasan tahun tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima oleh penjawat awam," katanya.

Beliau berkata, Sistem Saraan Malaysia yang digunakan perkhidmatan awam sejak 2002 ketika ini ibarat kerangka 'rumah lama' yang tidak lagi sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara.

Katanya, sekiranya isu kewangan menjadi kekangan, kerajaan boleh menimbangkan kenaikan gaji dalam bentuk elaun khas terlebih dahulu sementara menunggu pelarasan gaji melalui SSPA.

"Selepas SSPA dimuktamadkan kelak dan berlakunya kenaikan gaji, maka kerajaan boleh memansuhkan bayaran elaun khas itu.

"Adalah menjadi harapan penjawat awam untuk menikmati skim upah yang lebih adil dan munasabah supaya mereka mampu berhadapan dengan situasi yang sukar ketika ini," katanya.

Berita Harian X