Rabu, 3 Januari 2024 | 11:49am

Langkah Dubai: Puad syor J-Kom dirombak sepenuhnya

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, syorkan supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di bawah Kementerian Komunikasi dirombak secara menyeluruh selepas agensi itu mendakwa wujud 'Langkah Dubai'.

Beliau menyifatkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Ismail Yusop itu 'cetek' dan menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

"Apa keperluan timbalan KP J-Kom mainkan isu Langkah Dubai? Imej J-Kom makin merudum selepas kontroversi bekas ketua pengarahnya, Agus Yusoff dan pembantu beliau, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

"Maka, amat wajar J-Kom dirombak secara menyeluruh, 'rebranding total' (penjenamaan semula sepenuhnya) dan dipimpin oleh mereka yang lebih kompeten," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan mendakwa gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun menggunakan dana asing.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada 'ejen' untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau tahu mengenai 'Langkah Dubai' sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya itu, tetapi enggan mendedahkan nama individu berkenaan.

Kelmarin juga, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menafikan terbabit dalam gerakan itu.

Malah, Abdul Rahman membuat aduan polis mengenai fitnah itu apabila namanya turut dikaitkan.

Berita Harian X