Rabu, 3 Januari 2024 | 9:07am
Model sport sedan keluaran syarikat automotif China, BYD SEAL dipamerkan pada pameran automotif Tokyo pada 25 Oktober lalu. - Foto AFP
Model sport sedan keluaran syarikat automotif China, BYD SEAL dipamerkan pada pameran automotif Tokyo pada 25 Oktober lalu. - Foto AFP

BYD mendahului Tesla sebagai pengeluar terbesar kenderaan elektrik

NEW YORK: Pengeluar kereta Amerika Syarikat, Tesla telah kehilangan takhta kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia kepada firma China - BYD, menurut angka jualan yang dikeluarkan semalam.

Pengeluar kereta berpangkalan di Amerika Syarikat diterajui billionaire Elon Musk mengeluarkan 484,507 kenderaan dalam suku keempat tahun 2023, menurut data syarikat itu - meningkat lebih 11 peratus daripada suku sebelumnya.

Tetapi peningkatan ini tidak mencukupi untuk mengekalkan mahkota Tesla sebagai pengeluar dan penjual kenderaan elektrik bateri terbesar di dunia, kerana pesaing China, BYD melaporkan penjualan sebanyak 526,409 untuk tempoh yang sama.

Angka ini menekankan cabaran yang kemungkinan akan dihadapi Tesla tahun ini, daripada pesaing yang berminat untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan elektrik.

Berita mengenai prestasi BYD juga memberi kesan kepada saham Tesla yang turun sedikit semalam.

Selain menewaskan Tesla dalam jualan kenderaan elektrik sepenuhnya, BYD juga menjual lebih daripada 400,000 kenderaan elektrik hibrid plug-in dalam suku keempat.

Secara keseluruhan, BYD menjual lebih daripada tiga juta kenderaan penumpang tahun lalu.

Bagaimanapun, Tesla masih menjadi penjual teratas EV secara tahunan apabila mengeluarkan lebih daripada 1.8 juta kenderaan kepada pelanggan dalam tempoh setahun hingga Disember, jauh di atas jualan BYD yang hampir 1.6 juta. - AFP

Berita Harian X