Selasa, 2 Januari 2024 | 5:57pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Johor catat peningkatan kes demam denggi

JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan peningkatan dalam kes demam denggi pada Minggu Epid ke-52 bagi 2023 yang berakhir kelmarin, dengan 311 kes dilaporkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata bilangan itu meningkat sebanyak 28 peratus, berbanding minggu sebelumnya iaitu sebanyak 243 kes.

"Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang minggu lalu, sebanyak 86 kes iaitu 27.7 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 225 kes atau 72.3 peratus dari lokaliti bukan wabak.

"Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru yang menyumbang 251 kes iaitu 80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, diikuti Kulai (32 kes, 10.3 peratus) dan Kluang (12 kes, 3.9 peratus).

"Muar pula dengan lima kes iaitu 1.6 peratus, Kota Tinggi (empat kes, 1.3 peratus), Batu Pahat (tiga kes, 1 peratus), Pontian (dua kes, 0.6 peratus) serta Tangkak dan Segamat masing-masing satu kes dengan 0.3 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daerah yang melaporkan peningkatan kes pada Minggu Epid 52/2023 berbanding minggu sebelumnya adalah Johor Bahru, Kulai, Kluang, Muar dan Pontian.

Katanya, pada minggu epid lalu, sejumlah 29 lokaliti wabak baharu dilaporkan di negeri ini iaitu di Johor Bahru (27 lokaliti, 93.1 peratus) dan Kulai (dua lokaliti, 6.9 peratus).

"Pada masa sama, tiada kematian dilaporkan pada Minggu Epid 52/2023," katanya.

Mengulas situasi semasa COVID-19 di negeri ini, Tian Soon berkata, secara kumulatif terdapat 406,683 kes dilaporkan dengan 403,581 membabitkan jangkitan tempatan, manakala baki 3,102 kes import.

"Purata Kadar Insiden Harian COVID-19 untuk Minggu Epid lalu adalah 8.27 untuk setiap 100,000 penduduk.

Jumlah kes yang masih dalam rawatan di hospital sebanyak 108 kes dengan tujuh kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Berita Harian X