Selasa, 2 Januari 2024 | 8:37am
Wan Badariah bersama rombongan kerajaan negeri termasuk Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim menjelajah Tasik Timah Tasoh untuk mempromosikan Tahun Melawat Perlis dengan berlatarkan panorama Bukit Chabang di Beseri. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Wan Badariah bersama rombongan kerajaan negeri termasuk Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim menjelajah Tasik Timah Tasoh untuk mempromosikan Tahun Melawat Perlis dengan berlatarkan panorama Bukit Chabang di Beseri. - Foto NSTP/Aizat Sharif

Perlis tawar pelancongan berbaloi saingi Hatyai, modal RM500 sudah memadai

PADANG BESAR: Dengan hanya berbekalkan RM500 ke bawah, Perlis mampu menyaingi Hatyai, Thailand sebagai destinasi pelancongan berbaloi dengan tawaran pelbagai lokasi menarik sempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025 yang sudah pun bermula sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata Perlis tidak seharusnya dipandang 'sebelah mata' terutama dari segi tawaran destinasi pelancongan yang mendapat perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Jika di Hatyai, bajet RM1,000 itu sudah dikatakan cuku. Di Perlis bajet RM1,000 itu sudah cukup mewah, malah dengan hanya RM500 ke bawah pun, pelancong Perlis mampu mendapatkan suatu percutian yang sangat berbaloi serta menarik.

"Penginapan di Perlis ada di bawah RM200 ditambah pula pelbagai sajian makanannya yang murah serta tempat menarik di negeri ini hanya mengenakan caj yang cukup minimum. Pendek kata sambil bercuti, boleh juga berjimat.

"Malah jika hendak mencuba makanan Thailand juga banyak. Jadi Perlis ini 'tidak lekeh' berbanding Hatyai atau tempat percutian lain malah tidak perlu pun untuk tukar duit untuk berbelanja di negeri ini," katanya selepas menghadiri Program Sambutan Pelancong sempena TMP 2024-2025 di Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh, Beseri, semalam.

Katanya, kerajaan negeri optimis untuk mencapai sasaran 3.5 juta pelancong berkunjung ke Perlis pada tahun ini kerana ia dibuktikan dengan pertambahan pengunjung dari semasa ke semasa.

"Dalam tempoh dua minggu cuti persekolahan lalu juga, kita menganggarkan lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar Perlis datang ke negeri ini untuk melancong.

"Dengan perkembangan ini juga tidak mustahil sasaran 3.5 juta yang mahu dicapai kita (kerajaan negeri) bagi tahun ini dan tahun hadapan sempena TMP mampu dicapai dengan lebih cepat dalam tahun ini sahaja," katanya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis, Razali Saad mengingatkan peniaga dan pengusaha kedai makan di negeri itu tidak menjadikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 ini sebagai platform untuk menaikkan harga makan sewenang-wenangnya terutama di kawasan tumpuan makanan seperti di Kuala Perlis.

"Kita ada terima aduan berlakunya pencatutan harga terutama makanan di kawasan Kuala Perlis dan sudah pun diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini jadi sempena penganjuran TMP 2024-2025 ini kita tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya.

Berita Harian X