Isnin, 1 Januari 2024 | 11:19pm
Ab Rauf (kiri) membincangkan sesuatu dengan Wan Rosdy pada Perasmian Pembukaan House of Patin di Kampung Hulu, hari ini. - Foto BERNAMA
Ab Rauf (kiri) membincangkan sesuatu dengan Wan Rosdy pada Perasmian Pembukaan House of Patin di Kampung Hulu, hari ini. - Foto BERNAMA

Melaka sambut baik kerjasama promosi makanan warisan negeri

MELAKA: Kerajaan Melaka membuka seluasnya ruang kerjasama dalam bentuk seni dan budaya dengan negeri lain termasuk berkaitan makanan warisan bagi menarik kehadiran pelancong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini termasuk memperluaskan lagi program seperti Festival Warisan dan Pelancongan Lintasan Budaya Melaka-Pahang 2023 yang diadakan pada November lepas di Banda Hilir di sini.

"Ia akan diperluaskan kepada pelancongan berkaitan makanan tradisi bagi kedua negeri kerana kerjasama ini bukan saja memberi tambah nilai kepada pelancongan domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir merasmikan restoran House of Patin Melaka di Kampung Hulu di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ab Rauf berkata, pihaknya juga sedang melihat kerjasama antara Melaka-Pahang ini dalam bentuk penelitian sejarah Melaka lama.

"Kita tahu bahawa sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan Pahang ini amat erat jadi kita akan memperincikan ciri-ciri sejarah yang boleh kita ketengahkan dengan memperhalusi dan menambah baik dari sudut sumbernya yang mungkin dipesongkan selepas penjajahan," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata selain lokasi pelancongan menarik, kedua negeri ini perlu mengetengahkan keunikan makanan warisan yang dimiliki untuk tatapan pelancong.

"Kedua negeri ini akan menunjukkan sinergi dengan mereka (pelancong) datang ke Melaka dan sebaliknya, insya-Allah kita akan mewujudkan kerjasama yang lebih kukuh," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X