Isnin, 1 Januari 2024 | 6:40pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kaut untung seludup minyak masak ketika banjir

KOTA BHARU: Banjir khususnya di kawasan Rantau Panjang tidak menghalang kegiatan penyeludupan minyak masak paket bersubsidi ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Walaupun air sungai berkenaan tinggi dan arus deras, kegiatan itu dipercayai terus berlaku kerana penyeludup mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika banjir.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Kelantan, Azman Ismail berkata, penyeludup sanggup melakukan kegiatan itu kerana bahan makanan itu mendapat permintaan tinggi di negara jiran itu.

"Selain permintaan yang tinggi, harga minyak masak berpaket yang dijual di Thailand juga agak mahal menyebabkan penyeludup ghairah membawa keluar barangan itu dari negara ini.

"Ketirisan ini juga disebabkan kualiti barang kawalan serta jarak sempadan negara yang terbuka sekali gus memudahkan kegiatan penyeludupan berlaku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin tular satu hantaran pengguna Facebook yang mendakwa banyak kedai di Thailand menjual minyak masak paket dipercayai dari Malaysia ketika barangan subsidi itu sukar diperoleh di negeri ini.

Individu itu juga menyatakan minyak masak bersubsidi dijual di Thailand pada harga RM5 sepaket berbanding RM2.50 di negara ini dan meminta agar pihak berwajib menyiasat perkara berkenaan.

Azman berkata, KPDN Kelantan sentiasa tingkatkan mempertingkatkan penguatkuasaan barang kawalan bersubsidi dan aktiviti penyeludupan ditangani secara berterusan.

"Penguatkuasaan undang-undang diperkuatkan lagi dengan pelbagai operasi bersepadu bersama agensi sempadan, mengadakan libat urus bersama, berkongsi maklumat risikan bagi melindungi hak-hak pengguna serta subsidi yang dibekalkan

kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, sepanjang 2023, sebanyak 362 tindakan kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai hampir RM4.6 juta.

Beliau berkata, rampasan itu membabitkan barang kawalan termasuk minyak masak bersubsidi, gula, tepung gandum, gas petroleum, minyak petrol dan diesel.

"Untuk minyak masak bersubsidi, sebanyak 118 tindakan kes dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM302,507.50 membabitkan 121,003 kilogram (kg).

"Memasuki tahun 2024, penguatkuasaan semakin dipergiatkan dengan mengadakan lebih banyak operasi bersepadu, penambahan pegawai di pintu sempadan laluan sah serta pertukaran maklumat risikan bersama agensi penguatkuasaan sempadan bagi menangani isu penyelewengan melalui sempadan negara ini," katanya.

Berita Harian X