Isnin, 1 Januari 2024 | 4:14pm
Guru dan kakitangan SK Sri Rantau Panjang 1 bergotong royong membersihkan kawasan sekolah yang terjejas selepas dilanda banjir sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan yang bermula esok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Guru dan kakitangan SK Sri Rantau Panjang 1 bergotong royong membersihkan kawasan sekolah yang terjejas selepas dilanda banjir sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan yang bermula esok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pelajar terjejas banjir di Kelantan diberi kelonggaran berpakaian biasa esok

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Kelantan memberi kelonggaran kepada pelajar di negeri ini yang terjejas banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa, bermula sesi persekolahan esok.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata pihaknya memahami kesukaran dialami mangsa banjir apabila kebanyakan kelengkapan sekolah turut tenggelam ketika banjir baru-baru ini.

"Kita sentiasa fleksibel dan ini juga arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) yang membenarkan pelajar dan murid berpakaian biasa ke sekolah.

"Pada masa sama, kita akan berusaha mendapatkan bantuan sesuai bagi meringankan beban mereka. Saya mengingatkan ibu bapa jangan khuatir dan bimbang sekiranya pakaian sekolah anak mereka ditenggelami banjir.

"Apa yang penting, murid dapat hadir ke sekolah dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita amat memahami kerana mungkin ada murid yang terjejas pakaiannya akibat ditengelami banjir di rumah mereka," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zamri berkata sehingga petang ini, dua sekolah di negeri ini masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.

"Kita serahkan kepada sekolah berkenaan. Sekiranya masih ramai mangsa menggunakan kelas, sekolah berkenaan boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Mohd Zamri berkata sebanyak RM328,700 kerugian direkodkan membabitkan sekolah di tiga daerah yang terjejas banjir sepanjang ketiga-tiga gelombang bencana berkenaan melanda.

Katanya, tiga daerah berkenaan adalah Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.

Semalam, penduduk di Rantau Panjang buntu memikirkan nasib anak yang mula bersekolah esok susulan kelengkapan termasuk kasut, pakaian dan buku sekolah tenggelam dalam banjir.

Berita Harian X