Isnin, 1 Januari 2024 | 12:33am
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MOTAC harap kerjasama strategik kerajaan negeri, penggiat pelancongan jayakan VM2026

MELAKA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap kerjasama strategik daripada pelbagai pihak mampu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kerjasama merangkumi kementerian, kerajaan negeri, penggiat industri serta sokongan rakyat penting dalam tempoh tiga tahun ini bagi menjayakan kempen VM2026.

Sehubungan itu, katanya, semua persiapan berstrategi dan efisien untuk mengaktifkan kempen VM2026 perlu dimulakan bagi memastikan kejayaannya supaya mampu memberi impak ekonomi secara optimum, sekali gus memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama global.

"Ia penting memandangkan MOTAC menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong asing sempena VM2026 dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion.

"Malaysia amat kaya dengan tarikan pelancongan termasuk keindahan alam semula jadi, budaya dan kesenian yang pelbagai, namun malangnya, terdapat sesetengah negeri yang memandang remeh perkara ini dan tidak mengambil peluang untuk mengoptimumkan sumber pelancongan yang ada bagi memajukan industri ini.

"Mungkin ada yang tidak sedar industri pelancongan juga antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, malah lebih membimbangkan apabila tarikan pelancongan domestik turut bergerak perlahan, sehingga dilihat tidak mempunyai daya saing berbanding dengan negara jiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 peringkat negeri di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam ini.

Pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari serta EXCO Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Selain itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi MPB Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin turut hadir.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, MOTAC mengalu-alukan inisiatif kerajaan Melaka yang menganjurkan TMM2024 dengan menyediakan lebih 70 acara bagi menyambut kedatangan pelancong.

Katanya, kerjasama strategik MOTAC dan kerajaan negeri dalam menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa iaitu World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27 hingga 29 September 2025 juga dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.

"MOTAC melalui Pejabat MOTAC Negeri dan Tourism Malaysia bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk mempromosi dan menaik taraf infrastruktur destinasi pelancongan," katanya.

Berita Harian X