Ahad, 31 Disember 2023 | 4:35pm
Sebahagian jemaah umrah melakukan pendaftaran masuk bagasi sebelum berangkat menunaikan umrah pada Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 kerjasama Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd dan kerajaan Negeri Sembilan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Sebahagian jemaah umrah melakukan pendaftaran masuk bagasi sebelum berangkat menunaikan umrah pada Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 kerjasama Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd dan kerajaan Negeri Sembilan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Andalusia terbangkan 114 asnaf ke Tanah Suci

SEPANG: Seramai 114 asnaf yang berpeluang menunaikan umrah buat kali pertama menerusi program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 berangkat ke Tanah Suci hari ini.

Program anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan itu menyaksikan jemaah dibawa menunaikan ibadah itu dengan kos keseluruhan ditanggung sepenuhnya.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata program berkenaan bertujuan membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan ibadah umrah sekali dalam seumur hidup.

"Sebagai sebuah syarikat yang berteraskan menyantuni tetamu Allah, kami percaya keberhasilan Andalusia tidak sepatutnya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, sebaliknya dari segi positif yang boleh kami cipta untuk masyarakat sekeliling.

"Program tahunan umrah asnaf ini adalah antara cara kami untuk berkongsi rezeki secara nyata dalam menciptakan perubahan bermakna kepada masyarakat khususnya yang beragama Islam," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Andalusia, Datuk Daud Che Ngah, hadir menghantar kumpulan jemaah berkenaan berlepas ke Tanah Suci di KLIA.

Seramai 77 asnaf yang terpilih adalah dari Negeri Sembilan, Kelantan (15), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (10), Sabah (tujuh) dan Melaka (dua).

Selain, golongan asnaf, seramai lima pengamal media turut ditaja untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Ida Riswana berkata, beliau berharap jemaah asnaf yang terpilih untuk menunaikan ibadah itu dapat beribadah dengan sebaiknya dan membawa pulang ilmu bahawa Islam itu indah.

Seorang jemaah asnaf, Senimah Kittan, 61, dari Port Dickson, Negeri Sembilan menzahirkan rasa teruja kerana dapat menunaikan umrah ke Tanah Suci buat pertama kali.

Katanya, dia sering berdoa supaya dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci dan akhirnya dimakbulkan selepas terpilih sebagai seorang daripada peserta program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0.

"Saya selalu berdoa semoga dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Alhamdulillah akhirnya dimakbulkan Allah SWT dalam usia saya sudah enam dekad," katanya.

Sementara itu, Jamaludin Daud, 66, menyifatkan peluang untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci itu adalah hadiah paling bermakna kerana akan menyambut ulang tahun kelahirannya esok.

"Saya lahir pada 1 Januari 1958, dan esok adalah hari ulang tahun kelahiran saya ke 67. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan Allah rezeki untuk beribadah di Tanah Suci sempena ulang tahun kelahiran saya," katanya.

Berita Harian X