Ahad, 31 Disember 2023 | 2:42pm
Penduduk, Mohd Adnan bersama Mohd Ariffin membersihkan kedai runcitnya selepas banjir surut di Kampung Tersang, Rantau Panjang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penduduk, Mohd Adnan bersama Mohd Ariffin membersihkan kedai runcitnya selepas banjir surut di Kampung Tersang, Rantau Panjang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mangsa banjir mula pulang bersihkan rumah

RANTAU PANJANG: Lebih 300 penduduk membabitkan 58 keluarga di Kampung Tersang di sini, mula membersihkan kediaman masing-masing selepas dilanda gelombang ketiga banjir baru-baru ini.

Kampung Tersang antara kampung yang terjejas teruk dengan semua kediaman tenggelam, hanya kelihatan bumbung.

Sebahagian besar penduduk masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh dan hanya pulang membersihkan rumah.

Penghulu, Mohd Ariffin Ismail, 61, berkata sehingga kini paras air di pekarangan kediaman di kampung berkenaan mencecah sehingga satu meter dan segala pergerakan menggunakan bot.

"Disebabkan itu kebanyakan penduduk masih berada di PPS dan hanya pulang membersihkan kediaman selepas banjir teruk baru-baru ini.

"Bayangkan semua rumah hanya nampak bumbung dan proses nak bersihkan rumah pun sudah tentu mengambil masa beberapa hari.

"Ada penduduk sanggup bermalam dengan rumah tidak bersih sepenuhnya kerana sudah terlalu lama berada di PPS dengan kebanyakannya mencecah tiga minggu," katanya ketika ditemui di sini.

Penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang pulang membersihkan rumah sejak semalam walaupun banjir belum surut sepenuhnya. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang pulang membersihkan rumah sejak semalam walaupun banjir belum surut sepenuhnya. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penduduk, Che Zuraida Che Senik, 45, berkata dia dan suami mula membersihkan rumah sejak semalam selepas air dalam rumah surut.

"Letih melihat keadaan dalam rumah memandangkan banjir kali ini hanya nampak bumbung seolah-olah tidak tahu mahu bermula dari mana.

"Habis barang berselerakan dan saya serta suami hanya buat sekadar termampu bagi membolehkan kami pulang bermalam di rumah selepas tiga minggu di PPS," katanya.

Penduduk, Mohd Adnan Ibrahim, 44, berkata dia mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akibat banjir dan sehingga kini hanya sebahagian rumah dapat dibersihkan.

"Banjir kali ini agak berlumpur menyebabkan kami sekeluarga berhempas pulas membersihkan rumah. Saya berpindah ke PPS sejak 16 Disember dan hari ini baru pulang," katanya.

Berita Harian X