Ahad, 31 Disember 2023 | 1:22pm
Penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang, sudah boleh kembali ke rumah masing-masing tetapi kawasan sekitarnya masih ditenggelami air. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang, sudah boleh kembali ke rumah masing-masing tetapi kawasan sekitarnya masih ditenggelami air. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penduduk buntu fikir usaha baiki rumah rosak akibat banjir

RANTAU PANJANG: "Jangan kata baju, buku dan kasut sekolah anak, barang rumah pun habis tenggelam banjir sedangkan anak-anak akan mula bersekolah Selasa ini."

Demikian luahan mangsa banjir dari Kampung Tersang, Marlina Abdul Rahman, 43, yang kini buntu memikirkan kehidupan selepas ini selain keadaan anak yang perlu bersekolah.

Ibu kepada empat anak itu berkata, bukannya dia tidak menyimpan di tempat tinggi segala keperluan sekolah anaknya, sebaliknya para atau rak yang dibina di dalam rumah turut tenggelam.

"Banjir gelombang ketiga baru-baru ini menyebabkan rumah saya hanya nampak bumbung sahaja. Barang yang diletakkan di atas para besi pun dibawa arus banjir.

"Semalam saya pulang ke rumah untuk membersihkan rumah memandangkan air dalam rumah sudah surut, namun saya hilang kata-kata melihat habis barang dalam rumah musnah.

"Buku, kasut dan baju sekolah anak saya juga hanyut dibawa banjir. Sedih memikirkan keadaan yang diadapi tiga anak yang masih bersekolah iaitu pra sekolah, Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang berharap pihak sekolah lebih bersikap fleksibal ketika sesi persekolahan bermula Selasa ini apabila anak-anak terpaksa berpakaian biasa ke sekolah.

"Untuk ketika ini saya tidak mampu berfikir mahu membeli baju sekolah yang baru atau kasut sekolah kerana masih letih dan terkejut dengan keadaan banjir yang melanda baru-baru ini," katanya.

Jirannya, Mohd Zaidi Ahmad, 55, berkata kelengkapan sekolah dua anaknya yang masing-masing Tahun Satu dan Tingkatan Tiga turut banjir.

"Pada awalnya memang saya sudah meletakkan di atas para kayu yang tinggi segala kelengkapan sekolah, namun saya tidak menyangka para kayu yang dibina itu turut runtuh.

"Para kayu yang dibuat patah menyebabkan semua baju serta buku tenggelam banjir. Saya cuba menjemur buku-buku semalam namun warna buku pun sudah bertukar memandangkan berada dalam air yang lama.

"Baju serta kasut sekolah pun habis berselut dan tidak boleh dipakai lagi," katanya.

Penduduk, Din Abdul Rahman, 58, turut berdepan kerugian apabila segala kelengkapan sekolah dua cucunya dihanyutkan banjir baru-baru ini.

"Usaha bersihkan rumah pun belum selesai, apatah lagi memikirkan cucu yang akan ke sekolah Selasa ini.

"Selalunya pihak sekolah lebih terbuka walaupun anak-anak berpakaian biasa memandangkan mereka tahu Rantau Panjang sering terkesan banjir," katanya.

Berita Harian X