Ahad, 31 Disember 2023 | 12:52pm
HABIBAH dan Muhammad diraikan keluarga selepas diijabkabulkan sebagai suami isteri. - Gambar ihsan IZZU EVA
HABIBAH dan Muhammad diraikan keluarga selepas diijabkabulkan sebagai suami isteri. - Gambar ihsan IZZU EVA

Nenek bertemu jodoh selepas 10 tahun sendirian

HULU SELANGOR: Usianya kini 70 tahun. Namun ia bukan halangan buat Habibah Kassim yang sudah memiliki 17 cucu dan seorang cicit mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan hatinya, Muhammad Abdul Wahab.

Sebaliknya, kasih sayang dan keikhlasan hati mengikat Habibah dengan Muhammad, 81, yang selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 10 Disember lalu.

@bharianmy Nenek bertemu jodoh #BeritaDiTiktok ♬ original sound - Berita Harian

Perkahwinan itu sekali gus mengakhiri kehidupan solo Habibah yang tinggal sendiri sejak 10 tahun lalu selepas kematian suami, Izzudin Wan Mohd.

Menyingkap kisah itu, Habibah berkata, dia berkenalan dengan Muhammad ketika pergi belajar agama di sebuah pondok di Ijok, Kuala Selangor pada Ramadan lalu.

Katanya, status Muhammad sebagai penceramah agama membuatkan Habibah terbuka hati menerima lamaran suaminya itu.

"Selepas kematian suami yang dulu, saya ada fikir soal jodoh dan pasang niat kalau bertemu jodoh biarlah orangnya cenderung dalam bab agama.

"Ikutkan memang ramai yang nak (menjadikan isteri) sebelum ini namun saya yang tak nak.

"Tetapi saya terbuka hati terima lamaran suami kerana berasa sudah jumpa lelaki yang saya berkenan. Inilah dikatakan dah sampai jodoh.

"Sejak awal berkenalan lagi saya sudah berterus terang dengan anak yang mulanya sukar menerima. Namun akhirnya mereka bersetuju dengan impiannya," katanya ketika dihubungi.

Habibah berharap, dia dan suaminya diberi kebahagiaan serta dipanjangkan jodoh sehingga akhir hayat mereka.

Katanya, dia dan suami juga merancang ke Narathiwat, Thailand pada Februari depan untuk berbulan madu.

"Saya tak gementar pun sewaktu majlis akad nikah tempoh hari sebaliknya gembira dan bahagia sangat.

"Syukur juga kerana tak sendiri lagi dan sudah ada peneman di rumah.

"Suami pula 'kaki jalan' orangnya malah sudah pergi ke merata tempat. Jadi kami akan habiskan masa bersama," katanya.

Sementara itu, anak ketiganya, Izzudiawaty Izzudin, 44, atau Izzu iaitu salah seorang anggota kumpulan dangdut Eva berkata, dia pada mulanya tidak bersetuju dan berat hati menerima keputusan ibunya untuk berkahwin lagi.

Bagaimanapun, Izzu akur kerana mengenangkan keinginan ibunya yang juga mahukan teman hidup dan kebahagiaan.

"Abah meninggal dunia pada 2013 akibat serangan jantung jadi sejak itu emak tinggal bersendirian. Kami adik beradik pernah ajak tinggal bersama namun dia enggan.

"Sebagai anak, saya gembira dan doa emak dengan ayah bahagia, diberi kesihatan baik serta dipanjangkan umur supaya dapat menjaga satu sama lain," katanya.

Berita Harian X