Sabtu, 30 Disember 2023 | 11:46pm
Program Malam Bandaraya Melaka Berselawat di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, malam ini. - NSTP/AMIR MAMAT
Program Malam Bandaraya Melaka Berselawat di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, malam ini. - NSTP/AMIR MAMAT

Lebih 80,000 banjiri Malam Bandaraya Melaka Berselawat

MELAKA: Malam Bandaraya Melaka Berselawat yang menjadi pembuka tirai sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini malam ini, dibanjiri lebih 80,000 umat Islam.

Program anjuran kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pertubuhan Rizq Melaka mempersembahkan selawat dan qasidah yang diketuai Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Ceramah khas pula disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid bersama Sheikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim Al-Zahari dan Ustaz Muhammad Hatta Syamsul Ariffin Abdul Rahim.

Program yang bermula selepas solat maghrib itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Yang hadir sama ialah Mufti Melaka, Datuk Abd Halim Tawil; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; serta EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin.

Pelancaran rasmi TMM2024 diadakan serentak dengan Sambutan Tahun Baharu 2024 yang berlangsung di Dataran Pengkalan Rama, di sini, bermula kira-kira jam 7.30 malam esok.

Berita Harian X