Sabtu, 30 Disember 2023 | 6:22pm
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Ngeh mohon maaf cadang pakar bukan Islam dalam jawatankuasa syariah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham hari ini memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu.

"Saya menjangka proses ini akan membabitkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambil kira sebelum apa-apa cadangan pindaan dibuat.

"Sehingga ia dijelaskan baru-baru ini, saya tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut sebenarnya telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Oleh itu saya dengan ini menarik balik cadangan saya dan memohon maaf dengan tulus hati," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saya tiada niat langsung untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam, katanya.

Dalam kenyataan pada 28 Disember lalu, beliau mencadangkan bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana menyeragamkan undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan keras daripada pemimpin parti Melayu termasuk daripada kalangan parti kerajaan sendiri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya menerusi satu kenyataan semalam meminta orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan cadangan Ngeh adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

Sementara itu di Sungai Buloh, Norzamira Che Noh melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Ngeh sewajarnya meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu membabitkan hal ehwal agama Islam.

"Ahli Parlimen Beruas sewajarnya selaku ahli politik berpengalaman, malah pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu melibatkan hal ehwal Agama Islam, sementelah beberapa kali polemik yang berlegar pada skop yang sama dicetuskan beliau terdahulu.

"Malah ini juga membebani parti beliau yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui kerajaan Perpaduan yang jelas dan tuntas meletakkan agama Islam di tahap tertinggi," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Berita Harian X