Sabtu, 30 Disember 2023 | 12:42pm
Penduduk membersih dan mengalihkan kayu yang hanyut selepas air mulai surut di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penduduk membersih dan mengalihkan kayu yang hanyut selepas air mulai surut di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Pelajar terjejas banjir dibenar pakai pakaian biasa ke sekolah - JPNT

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas akibat banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa apabila sesi persekolahan bermula Selasa ini.

Timbalan Pengarah JPNT (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @ Abdullah, berkata pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir dan akan berusaha untuk meringankan beban mereka.

Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak mereka tetap hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa untuk sementara waktu.

"Saya ingin berpesan kepada mana-mana murid yang terkesan dengan banjir supaya hadir ke sekolah walaupun dalam keadaan berpakaian biasa sekiranya pakaian mereka musnah semasa banjir.

"Begitu juga jika alat tulis atau buku rosak, mereka tidak perlu bimbang... cuma hadir ke sekolah. Sekiranya buku teks musnah boleh lapor kepada guru kelas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu Azman berkata operasi pembersihan sekolah yang terjejas banjir sedang giat dijalankan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing dengan bantuan komuniti setempat.

Beliau berkata banjir gelombang ketiga yang bermula 24 Disember lalu telah menjejaskan 32 sekolah terutama di daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.

"Selain itu, lima lagi sekolah masih beroperasi sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Ia termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau; SK Tanjung Pati; SK Padang Pulut; SK Delong di Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang," katanya.

Setakat 10 pagi tadi, keadaan banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 733 mangsa daripada 198 keluarga masih berasa di 13 buah PPS di daerah Marang, Kuala Nerus dan Dungun, menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – BERNAMA

Berita Harian X