Jumaat, 29 Disember 2023 | 10:35pm

Teman lelaki Bella dibebaskan dengan jaminan polis

BATU PAHAT: Teman lelaki kepada Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang kehilangannya masih misteri sejak 14 Disember lalu dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi.

Lelaki berusia 24 tahun itu dibebaskan sekitar jam 6 petang selepas direman sejak 25 Disember lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan ibu tunggal itu.

Tempoh tahanan remannya berakhir esok.

Sumber berkata, lelaki itu dibebaskan selepas kesihatannya merosot akibat kencing manis dihidapinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Dia sudah dibebas dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi.

Semalam, polis mengesahkan lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

Bella yang juga ibu tunggal dilaporkan keluar rumah pada jam 11.50 malam untuk ke kedai dobi di Simpang Rantai bersama teman lelakinya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dilaporkan melencong ke tempat lain sebelum disedari hilang keesokan hari.

Pada masa sama, pakaian yang dibawa Bella dan belum dicuci itu juga ditemui semula di rumahnya pada pagi keesokan hari.

Sehingga kini, lima individu termasuk kakak Bella, Norhisham, 36, dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan wanita itu.

Kehilangan Bella masih menjadi misteri meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menjejakinya.

Berita Harian X