Jumaat, 29 Disember 2023 | 7:42pm
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negara ini khususnya mereka bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negara ini khususnya mereka bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office

Sultan Selangor ingatkan bukan Islam tak campur hal agama Islam

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negara ini khususnya mereka bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Titah baginda, MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang membabitkan undang-undang dan agama Islam.

"Justeru, baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam," katanya menerusi kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Selangor bertitah sedemikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Sultan Sharafuddin dalam kenyataan itu turut bertitah supaya penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

"Baginda turut berkenan memetik ayat ke-enam Surah al-Kafirun yang mana Allah SWT telah berfirman, (yang bermaksud) 'Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku," kata kenyataan itu lagi.

Sultan Sharafuddin turut mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung isu berkenaan.

Anthony dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cadangan Ahli Parlimen Beruas berhubung pelantikan pakar perundangan bukan Islam bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

Berita Harian X