Jumaat, 29 Disember 2023 | 5:46pm
Ribuan jemaah menunaikan solat Jumaat terakhir bagi 2023 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya hari ini.
Ribuan jemaah menunaikan solat Jumaat terakhir bagi 2023 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya hari ini.

Umat Islam tunai solat hajat, doakan kesejahteraan negara, rakyat

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam dalam negara hari ini menunaikan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya daripada sebarang musibah susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 500 jemaah daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur menunaikan solat hajat yang diimamkan Ustaz Zainul Hilmi Abd Jalil selepas solat Jumaat di Masjid Negara hari ini.

Pekerja swasta Muhd Affendi Abd Halim, 29, yang juga jemaah di masjid itu berkata solat hajat hari ini adalah sebagai ikhtiar bagi mendoakan kesejahteraan negara dan rakyat agar sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah.

"Sama-sama kita mendoakan agar saudara-saudara kita khususnya di Terengganu, Kelantan, Johor dan Pahang yang ketika ini dilanda bencana, dilindungi dan dipermudahkan urusan. Alhamdulillah, jemaah yang sertai solat hajat hari ini pun ramai," katanya kepada Bernama.

Sementara itu di PUTRAJAYA, ribuan jemaah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini turut menunaikan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan negara khususnya daripada ditimpa banjir.

Solat hajat dua rakaat yang didirikan selepas solat Jumaat itu dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkap imam masjid berkenaan Mohamad Syakir Azmi.

Semua jemaah yang hadir mengaminkan doa antaranya memohon agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, melapangkan kesempitan serta menghindar bala bencana dari menimpa rakyat dan negara.

Di TERENGGANU, jemaah di Masjid Abidin, Kuala Terengganu turut menunaikan solat hajat usai solat Jumaat bagi mendoakan mangsa banjir di negeri itu agar diberikan kesabaran berdepan segala ujian yang menimpa.

Imam Khas Masjid Abidin Imam Syeikh Dr Mohammad Abdul Hamid Kolaib yang mengimamkan solat turut memanjatkan doa agar dipermudahkan semua urusan mangsa selain mengharapkan bencana banjir segera pulih.

Setakat 12 tengah hari tadi, bilangan mangsa banjir di tujuh daerah di negeri itu semakin berkurang iaitu seramai 2,576 orang daripada 689 keluarga, menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Di JOHOR, kesemua 838 masjid dan 1,942 surau di negeri itu diarahkan untuk melaksanakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan mangsa banjir di seluruh negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menetapkan solat hajat diadakan selepas solat Jumaat sejak Oktober lepas, bagi mendoakan kesejahteraan negara serta dilindungi daripada musibah.

"Setiap Jumaat bermula Oktober sudah ditetapkan agar solat hajat terus dilaksanakan. Setiap kali solat hajat, doa perihal agar negara dan Johor dijauhkan dari segala bencana dan musibah, serta keselamatan dan kemakmuran termasuk di Palestin agar kembali aman, merupakan antara inti patinya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di PAHANG, ribuan jemaah Masjid Tepian Putra di tengah bandar raya Kuantan menunaikan solat hajat yang dipimpin imam dua masjid Muhamad Faizuddin Abdul Nasri bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan daripada bencana banjir.

Inti pati khutbah Jumaat turut mengingatkan jemaah untuk saling membantu semasa musim banjir ini.

Sementara itu di PULAU PINANG, tinjauan Bernama di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor mendapati pengurusan masjid mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mangsa banjir.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menggalakkan masjid atau surau solat Jumaat untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini.

"Tiada arahan khusus berhubung perkara itu namun kita galakkan masjid atau surau laksananya untuk mendoakan kesejahteraan semua pihak terutama mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini," katanya.

Di MELAKA, tinjauan Bernama di Masjid An-Naim, Durian Tunggal di sini menyaksikan hampir 1,500 jemaah membacakan Qunut Nazilah.

Seorang jemaah Abdul Razak Ibrahim berkata walaupun tanpa solat hajat, beliau percaya jemaah di mana-mana masjid di Melaka atau negara ini akan sentiasa mendoakan kesejahteraan penduduk yang terkesan banjir.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan meminta masjid serta surau di seluruh negara untuk mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara serta seluruh mangsa banjir.

Saranan sama turut dikeluarkan Jakim, selain memohon kerjasama tiga masjid di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya untuk mengadakan kutipan derma bagi membantu mangsa banjir. – BERNAMA

Berita Harian X