Jumaat, 29 Disember 2023 | 11:29am
 Keadaan terkini Sungai Kim Kim, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan terkini Sungai Kim Kim, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Derita berpanjangan angkara sisa toksik

PASIR GUDANG: Sudah empat tahun berlalu peristiwa hitam pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di sini, yang mengakibatkan lebih 2,500 penduduk, termasuk puluhan pelajar terpaksa dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas, muntah-muntah dan pitam, selain 110 sekolah terpaksa ditutup.

Namun, selepas tempoh yang panjang itu mangsa mendakwa masih menanggung kesan yang dikaitkan dengan peristiwa itu.

BH yang meninjau semula keadaan mangsa dimaklumkan kesan kepada sesetengah penduduk kawasan itu masih dideritai mereka.

Sakit kepala kronik dan kebas anggota badan dideritai seorang mangsa, Puspa Sari Pertiwi Rabu, 33.

Malah, beliau khuatir anak yang dilahirkan selepas tragedi itu mengalami masalah tumbesaran tidak normal tidak seperti adik beradik dan sepupu yang seusianya mempunyai kaitan dengan peristiwa itu.

Puspa Sari mendakwa rasa pening yang teruk dan kebas anggota badan semakin kerap dilaluinya walaupun tidak mempunyai penyakit lain, termasuk tekanan darah tinggi atau diabetes.

Beliau antara ratusan mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim yang ketika kejadian sedang hamil tiga bulan.

Mengimbau episod hitam itu, katanya ketika insiden berkenaan beliau pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Bukit Pulai yang terletak hanya 20 meter dari Sungai Kim Kim.

"Saya memang kerap menziarahi ibu dan ayah kerana tinggal tidak jauh dari Kampung Bukit Pulai. Cuma pada hari itu saya dan keluarga terhidu bau busuk yang agak kuat hingga menyebabkan kami pening dan sesak nafas seketika.

"Kami tidak pula syak sesuatu yang buruk kerana bau sebegitu sudah agak biasa dihidu di kawasan Pasir Gudang kerana ia kawasan industri. Cuma pada hari itu bau busuknya agak pekat sehingga terasa hingga ke tekak.

"Namun ia tidak berakhir di situ. Selepas pulang ke rumah pada sebelah malam, saya muntah-muntah tidak berhenti, sesak nafas dan hampir pitam menyebabkan saya meminta suami yang sedang bekerja untuk segera pulang ke rumah.

"Apabila suami pulang, saya pitam dan apabila sedar semula sudah berada di dalam ambulans. Ketika itu saya amat risau kerana masih sesak nafas dan mula terfikir adakah itu disebabkan bau busuk yang dihidu siang itu," katanya kepada BH.

Puspa Sari berkata, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas doktor yang membuat rawatan awal mengetahui beliau sedang hamil.

Bagaimanapun, doktor mengingatkan beliau untuk segera kembali ke hospital jika berdepan masalah ketika kehamilan dan jika bayi yang dilahirkan nanti mempunyai masalah.

"Alhamdulillah, saya tidak berdepan isu besar ketika kehamilan sebelum melahirkan bayi perempuan, Putri Atiqah Syahadah Zaini, yang kini berusia lima tahun.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga mula menyedari Nur Hana Sofia tidak membesar seperti rakan sebayanya, malah ketika ini tubuhnya kelihatan seperti berusia tiga tahun berbanding adik beradiknya.

"Saya dan keluarga risau juga kerana tumbesarannya kelihatan seperti bermasalah. Kami mula terfikir adakah ini disebabkan kesan sisa toksik Sungai Kim Kim dahulu," katanya.

Puspa Sari bersama Putri Atiqah Syahadah ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Pulai yang terletak 20 meter dari Sungai Kim Kim, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Puspa Sari bersama Putri Atiqah Syahadah ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Pulai yang terletak 20 meter dari Sungai Kim Kim, Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Semakin kerap sakit

Mengulas mengenai sakit kepala dan kebas anggota badan yang dideritai selepas tragedi itu, Puspa Sari berkata, beliau pada mulanya menyangka ia sakit biasa seiring dengan usianya.

"Namun saya kini bimbang apabila ia semakin kerap dan bercadang untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, abang Puspa Sari yang tinggal di Bukit Pulai, Nur Satria Rabu, 37, berkata beliau masih ingat lagi peristiwa Sungai Kim Kim tiba-tiba mengeluarkan asap tebal selepas pulang menjala ikan di sungai berkenaan.

Katanya, beliau menyangka ia hanya kabus biasa dan pulang ke rumah seperti biasa kira-kira jam 10 malam.

"Namun apabila jam 2 pagi, kami sekeluarga mula sesak nafas dan muntah-muntah dan mula mengesyaki ada berlaku pencemaran bau apabila menghidu bau busuk yang sangat pekat. Penduduk kampung kemudian membuat laporan kepada polis, bomba dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Perasaan tidak sedap hati penduduk akhirnya terbukti benar apabila media mula melaporkan insiden pelajar sekolah berhampiran pengsan sebelum insiden ini menjadi tidak terkawal," katanya.

Nur Satria berkata, beliau diminta bomba dan JAS supaya membawa mereka menyelusuri Sungai Kim Kim bagi melihat kesan pencemaran sekali gus mengambil sampel pencemaran menaiki botnya.

"Saya masih ingat lagi air Sungai Kim Kim ketika itu berwarna hitam pekat dan seolah-olah bertukar menjadi jeli. Saya yang diminta memakai dua lapisan pelitup muka pun masih dapat menghidu bau busuk yang amat pekat sehingga ke tekak.

"Malah, seorang petugas JAS yang ditugaskan mengambil sampel air Sungai Kim Kim pitam di atas bot walaupun memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE)," katanya.

Selepas empat tahun tragedi itu, Nur Satria berkata, penduduk bimbang kejadian sama berulang apatah lagi sudah beberapa kali air Sungai Kim Kim berubah menjadi hitam dengan kejadian terbaru, bulan lalu.

Katanya, JAS turut sudah dimaklumkan dengan kejadian terbaharu itu bagi mengelakkan tragedi pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim berulang.

"Lebih menyedihkan, saya gagal mendapatkan pampasan akibat kerosakan bot dan enjin bot berikutan bukan nelayan di pangkalan nelayan berdaftar, padahal saya yang membawa anggota JAS dan bomba menyelusuri Sungai Kim Kim.

"Malah, akibat tragedi itu, saya mula menghadapi masalah kesihatan apabila mula turun berat badan secara mendadak. Apabila ke klinik kesihatan, doktor hanya menyuruh saya makan lebih banyak, namun berat badan saya masih turun dan tidak naik," katanya.

Berita Harian X