Jumaat, 29 Disember 2023 | 9:48am
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Elak jadi mangsa penipuan perisian hasad

KEGIATAN mencuri data peribadi seseorang melalui taktik memancing menggunakan perisian hasad atau 'malware' makin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Terdapat pelbagai jenis penipuan perisian hasad dilaporkan membabitkan perkhidmatan pembersihan, dandanan haiwan peliharaan, barangan makanan seperti makanan laut dan barangan runcit.

Menurut satu laporan, penipuan berlaku apabila mangsa diarahkan oleh penipu untuk memuat turun Kit Pakej Android (atau .APK) daripada gedung aplikasi bukan rasmi untuk memudahkan pembayaran selepas menerima tawaran bagi membolehkan perisian hasad dipasang pada peranti mudah alih mangsa.

Penipu kemudian meyakinkan mangsa melalui panggilan telefon atau mesej teks untuk memberi akses pada telefon Android mereka dan selepas melemahkan keselamatan telefon, penipu boleh mengawal telefon sepenuhnya.

Akibatnya, sejumlah besar maklumat peribadi dan segala transaksi kewangan boleh terdedah kepada penjenayah siber.

Tawaran pembelian peranti Smart Tag palsu

Image

Selain penipuan membabitkan perkhidmatan, terdapat taktik terbaharu rangkaian scammers dikesan menghantar pautan tawaran pembelian peranti Smart Tag palsu melalui WhatsApp.

Pengguna yang menekan pautan berkenaan terdedah dengan kebocoran maklumat dan kebanyakan pautan mampu untuk membuka laluan 'back-door' peranti kepada pihak ketiga selepas mangsa memberi kebenaran kepada penipu untuk memantau peranti, aplikasi dan gerak isyarat dalam telefon dari jarak jauh.

Berdasarkan beberapa aduan yang diterima, mangsa pada mulanya menghantar mesej kepada penipu selepas melihat iklan tawaran pakej peranti Smart Tag yang dijual pada harga diskaun sebanyak 30 peratus atau menerima tawaran secara rawak dalam aplikasi permesejan.

Penipu kemudiannya menghantar pautan supaya mangsa boleh membuat pembayaran dan memuat turun fail .APK dengan memberi kebenaran kepada penghantaran notifikasi.

Selepas fail .APK berjaya dimuat turun, penipu mempunyai akses kepada peranti dan hampir kesemua maklumat mangsa pada ketika itu.

Selain membuka laluan 'back-door', pautan ini juga dicipta untuk membuka akses kenalan (contact) dan fail galeri serta menjejak data kemasukan pengguna atau 'user key in data' seperti kata laluan emel atau perbankan dan sebagainya.

Hati-hati dengan penipu dalam talian

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memuat turun pautan atau perisian sembarangan bukan dari gedung aplikasi rasmi kerana dikhuatiri boleh memberi kesan buruk bukan sahaja pada data peribadi, malah pada alat peranti.

Perisian hasad bukan saja mampu melemahkan sistem sekuriti peranti, malah menjadikan telefon pintar anda kerap 'lagging' atau 'hang'.

Situasi ini selalunya berpunca daripada virus bahaya yang wujud dalam perisian hasad yang turut berisiko untuk memusnahkan segala perisian yang ada.

Sebaliknya, hanya muat turun aplikasi dari gedung aplikasi rasmi telefon pintar seperti Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery.

ImageJangan benarkan mana-mana permohonan daripada sistem atau peranti untuk mengakses kawalan peranti anda.

Apabila anda perlu melakukan urusan perbankan dalam talian, hanya masukkan butiran peribadi atau log masuk yang diminta di laman web perbankan rasmi dan bukannya di laman web atau aplikasi lain.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menekan pautan yang dikongsi oleh mana-mana pihak ketiga dan menyemaknya terlebih dahulu.

Pihak berkuasa telah menyediakan satu inisiatif untuk orang awam menyemak penipuan dalam talian ini seperti aplikasi dan laman web SEMAKMULE, CCID Infoline (melalui aplikasi WhatsApp), CCID Response Center serta melalui Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police.

Bagi menangani kes penipuan di Malaysia, Persatuan Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama semua bank di Malaysia memperkenalkan insiatif #JanganKenaScam.

Layari www.JanganKenaScam.com untuk mengetahui lebih lanjut mengenai taktik penipuan terbaru dan cara untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa seterusnya.

Berita Harian X