Jumaat, 29 Disember 2023 | 7:58am

Guna PADU, beri maklumat telus jayakan subsidi elektrik bersasar

Kesediaan kerajaan menyemak semula beberapa aspek dalam mekanisme pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam pastinya memberikan kelegaan kepada pengguna. Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan kira-kira 1.2 juta isi rumah dengan bil elektrik RM220 sebulan akan mengalami kenaikan antara 4.2 hingga enam peratus bil bulanan mulai 1 Januari ini. Ini kerana kebimbangan orang ramai mungkin diklasifikasikan sebagai pemilik kediaman berstatus T20 ada asasnya walaupun ada mengutarakannya dalam bentuk jenaka atau troll di media sosial sebelum ini.

Kita bersetuju pandangan Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Kilat, Kuasa dan Tenaga Termaju Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir seperti disiarkan akhbar ini bahawa sekiranya pengiraan bersandarkan jumlah penggunaan tenaga itu setiap bulan semata-mata, dibimbangi ada golongan B40 atau M40 terpaksa menerima kenaikan itu. Ia disebabkan mereka terbabit dalam perusahaan mikro sama ada secara sepenuh masa mahupun sambilan untuk menambah pendapatan disebabkan peningkatan kos sara hidup hingga terpaksa banyak menggunakan tenaga elektrik, sekali gus 'terlepas' daripada menerima subsidi bersasar.

Foto hiasan. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Foto hiasan. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Itu belum lagi mengambil kira isi rumah yang turut didiami golongan rentan atau pesakit terlantar memerlukan penggunaan alat sokongan perubatan dan penyaman udara secara berterusan, sekali gus meningkatkan jumlah bil elektrik. Hal ini pastinya akan membebankan rakyat dalam memastikan ahli keluarga mereka mendapat rawatan sebaik mungkin, apatah lagi mengambil kira Malaysia sedang menuju ke arah negara tua.

Kita mengakui keperluan untuk mengubah sistem subsidi pukal yang mengalami ketirisan atau lebih banyak memanfaatkan golongan kaya-raya kepada subsidi bersasar dan penggunaan elektrik secara berhemat, tetapi ia tidak boleh menyebabkan kesan sampingan negatif kepada rakyat, apatah lagi golongan yang sepatutnya dibantu kerajaan seperti pengusaha mikro, golongan rentan dan pesakit terlantar.

Kita yakin semakan semula mekanisme bukan sesuatu sukar dilakukan kerajaan kerana Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan akan menjadi sistem data paling besar pernah dibangunkan untuk sektor awam negara kerana membabitkan puluhan perincian data, termasuk nama, umur, jantina dan isi rumah bagi setiap dari 32 juta rakyat yang membentuk ratusan juta titik data. Pada masa sama, rakyat juga perlu memberikan maklumat dengan telus supaya mekanisme pelaksanaan subsidi mengambil kira data terkini, sekali gus tidak tercicir daripada mendapat bantuan sepatutnya.

Berita Harian X