Khamis, 28 Disember 2023 | 7:58pm
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kemeja putih) melawat projek pembangunan Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur - Foto NSTP
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kemeja putih) melawat projek pembangunan Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur - Foto NSTP

DBKL diminta selesaikan isu tekanan air, pembetungan di Pasar Raja Bot

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menyelesaikan masalah tekanan air dan pembetungan di kawasan pembangunan semula Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata dua isu itu perlu diberi perhatian oleh DBKL bagi mengelakkan timbul masalah bekalan air dalam jangka panjang di kawasan pembangunan semula pasar berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, persediaan perlu dibuat berikutan kontraktor kini sedang mengatur pemindahan peniaga ke kawasan pembangunan semula pasar itu secara berperingkat.

"Kontraktor sudah menjelaskan kepada saya tadi pihaknya akan mengatur mana-mana peniaga yang sudah boleh berpindah namun kawasan ini masih mendapat bekalan air menggunakan tangki dan kontraktor membuat inisiatif sendiri membekalkan air kepada peniaga.

"Tetapi dalam jangka masa panjang, DBKL perlu lihat semula paip di Jalan Raja Alang kerana tekanannya tidak cukup kuat jadi air tidak akan sampai ke kawasan pasar ini.

"Selain itu, dari segi pembetungan, ada yang lagi tinggi dari aliran masuk (in flow), jadi kalau nak ke aliran keluar, ia memerlukan pam, jika tidak dalam masa akan datang menyebabkan lebihan aliran, sekali gus mendatangkan ketidakselesaan," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan pembangunan semula Pasar Raja Bot bagi mendapatkan maklumat terus daripada kontraktor mengenai perkembangan projek itu.

Pada masa sama, Johari berkata, projek terbabit sudah tertangguh selama 10 tahun kerana DBKL terpaksa menukar lima kontraktor yang berlainan sehingga menjejaskan ramai peniaga.

"Ia menjejaskan pendapatan peniaga, jika boleh siapkan ia memudahkan juga untuk orang ramai pergi ke pasar berbanding di tempat sementara ini," katanya.

Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, melalui jawapan bertulis di Parlimen, menyatakan projek pembangunan semula Pasar Raja Bot kini mencapai 90 peratus kemajuan dalam fasa kedua.

Projek itu yang mempunyai keseluruhan empat fasa Projek mula diteruskan kerajaan Persekutuan pada 17 Oktober lalu dan dijangka siap 12 Oktober 2025.

Proses pelantikan bagi kontraktor penyiap selesai melalui tender terbuka dan pada 26 September 2022, kontraktor penyelamat baharu dilantik untuk menyambung baki projek yang masih belum siap dengan kos bernilai RM125.8 juta.

Kontraktor baharu itu dijangka menyiapkan baki 10 peratus dalam fasa kedua pada 19 Mei dan menyelesaikan fasa ketiga pada 6 Disember 2024 dan fasa keempat pada 12 Oktober 2025.

Sebelum ini, projek itu dilaporkan sepatutnya siap pada 2018, namun terbengkalai sehingga menyebabkan kira-kira 2,800 daripada 4,000 keseluruhan peniaga di sekitar pasar berkenaan terjejas dan terpaksa gulung tikar kerana kehilangan pelanggan.

Berita Harian X