Khamis, 28 Disember 2023 | 12:31pm

Melaka sasar kehadiran 8 juta pelancong sempena TMM 2024

KUALA LUMPUR: Penganjuran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang dilancarkan Julai lalu dijangka dapat merealisasikan sasaran kerajaan negeri menerima kehadiran lebih lapan juta pelancong pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata berdasarkan rekod yang diperoleh baru-baru ini sejumlah 50,000 kenderaan masuk ke Melaka setiap hari

Beliau berkata, jumlah kemasukan kenderaan itu berdasarkan perangkaan atau kajian yang dibuat setiap minggu terutama musim cuti sekolah.

"Kalau nak dijangkakan, kita menyasarkan lebih lapan juta orang akan datang ke negeri ini sepanjang TMM 2024.

"Jika lebih daripada itu, ia menunjukkan Melaka adalah lokasi pilihan utama pelancong dan pengunjung," katanya kepada media selepas bersiaran pada program Malaysia Hari Ini (MHI) pagi tadi.

Ab Rauf berkata, lebih menarik tujuh kenderaan yang menjadi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM100,000 setiap satu, menanti pengunjung bersempena TMM 2024.

"Cabutan bertuah akan dilakukan setiap tiga bulan sekali sepanjang TMM 2024, di mana penyertaan adalah mengikut beberapa syarat ditetapkan. Kita ada 80 hotel dan inap desa yang menandatangani perjanjian untuk bersama-sama mempromosikan TMM 2024.

"Datanglah ke Melaka, pilih hotel yang bekerjasama untuk memastikan pengunjung menerima baucar, cabutan bertuah sebuah kereta setiap tiga bulan. Belanja RM500 dapat sebuah kereta sempena TMM2024," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, sambutan TMM 2024 akan bermula esok dengan penganjuran Karnival Islamik Antarabangsa yang akan diadakan di pekarangan Stadium Hang Jebat.

Katanya, acara alunan mengaji al-Quran selama 24 jam akan dimulakan pagi esok sehingga 30 Disember ini pada karnival itu.

"Semula sekolah tahfiz di Melaka akan terbabit secara langsung untuk meraikan Karnival Islamik Antarabangsa ini.

"Bukan itu saja, kita akan ada program 'Melaka Bandaraya Berselawat' yang akan diadakan secara besar-besaran dihadiri tetamu jemputan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, sambutan ambang tahun baharu dan pelancaran TMM 2024 akan diadakan di Jeti Pengkalan Rama, termasuk pertunjukan bunga api dan persembahan oleh artis tempatan berasal dari Melaka seperti

Zamani, Ziana dan Anuar Zain.

Menjawab mengenai masalah kesesakan di bandar raya, Ab Rauf berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan kajian terperinci bagi memudahkan pelancong dan pengunjung untuk datang ke negeri itu.

"Segala perancangan dan cadangan baharu yang akan dilaksanakan tidak akan merugikan mana-mana pihak.

Lebih ramai orang datang ke Melaka, lebih banyak peniaga yang berasaskan pelancongan akan mendapat manfaat.

"Pastinya kerajaan prihatin dan pastinya pulangan ini kita boleh berikan semula kepada rakyat Melaka," katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika wawancara MHI bagi mempromosikan TMM 2024 di Sri Pentas hari ini. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika wawancara MHI bagi mempromosikan TMM 2024 di Sri Pentas hari ini. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X