Khamis, 28 Disember 2023 | 9:53am
Tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang, Kuala Krai, Kelantan ditenggelami banjir setinggi dua meter susulan limpahan Sungai Pertang. - Foto fail NSTP
Tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang, Kuala Krai, Kelantan ditenggelami banjir setinggi dua meter susulan limpahan Sungai Pertang. - Foto fail NSTP

Banjir: Masjid, surau diminta adakan solat hajat

PUTRAJAYA: Semua masjid dan surau di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata solat hajat itu juga bertujuan mendoakan keselamatan semua mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas.

"Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Na'im berkata, beliau sudah mengarahkan agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun padang membantu mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.

Katanya, beliau bersimpati dan sedih dengan musibah yang menimpa mangsa berikutan banjir di beberapa negeri.

"Saya juga akan bersama agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara kita yang terkesan di negeri terjejas.

"Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur selepas selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun. Lawatan ini saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X