Khamis, 28 Disember 2023 | 7:00am
Foto tangkap layar TikTok
Foto tangkap layar TikTok

Kaedah pelajar pergigian UM rawat pesakit tarik perhatian netizen

KUALA LUMPUR: Rawatan pergigian sememangnya 'ditakuti' ramai, daripada golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa, menyebabkan ramai yang lebih rela menanggung kesakitan daripada berjumpa dengan doktor gigi.

Bagaimanapun, seorang pelajar bidang pergigian dari Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) dilihat berjaya mengubah persepsi itu, dengan kaedah rawatannya yang lemah lembut dan bersahaja, sehingga mendapat pujian netizen.

Melalui akaun TikToknya, @tomato_012, pelajar berkenaan, Habib Firziq Hasanusi berkongsi kehidupan dan tugasnya sebagai pelajar pergigian, termasuk perlu mencabut gigi seorang kanak-kanak.

Dalam video yang tular dan mendapat 1.7 juta tontonan itu, Habib Firziq dilihat secara sopan meminta kebenaran daripada kanak-kanak berkenaan untuk mencabut giginya dan memberikan suntikan.

Beliau juga bertanya sama ada kanak-kanak itu berasa sakit dan kanak-kanak itu akhirnya berjaya melalui prosedur berkenaan dalam keadaan tenang.

Kanak-kanak itu, malah memberikan tepukan 'high five' kepada Habib Firziq selepas giginya dicabut.

Habib Firziq kemudian menunjukkan buku pelekat kepada kanak-kanak itu dan meminta kanak-kanak itu memilih pelekat yang dimahukan, sebelum membawanya ke kedai untuk memilih aiskrim yang disukai.

@tomato_012 Eskrim + sticker = best rasuah ever #dentalstudent #dentalschool #dentistry #paediatrics #babyteeth #teethwhitening #dentalstudentlife #UM #CapCut ♬ Bercinta Lewat Kata - OST Jatuh Cinta Seperti di Film-Film - Donne Maula

Cara Habib Firziq merawat dan melayan pesakit kecilnya itu menarik perhatian netizen, yang rata-ratanya menyifatkan beliau bukan saja berjaya menenangkan kanak-kanak itu melalui percakapan yang lemah-lembut, malah memberi galakan kepadanya sepanjang prosedur berkenaan.

"Bestnya... Aku sepanjang hidup jumpa doktor gigi, semuanya garang. Kita perlukan doktor gigi macam ni," komen seorang pengguna.

Ada juga yang memuji kanak-kanak itu yang dilihat kuat semangat, walaupun prosedur itu sebenarnya menyakitkan.

"Macam mana dia (kanak-kanak) tidak menangis waktu disuntik," komen pengguna lain.

Seorang pengguna secara berseloroh menyatakan kesanggupan jika semua giginya dicabut Habib Firziq.

"Macam ni, abang nak cabut gigi saya semua pun okay je," katanya.

Ada juga yang bertanya sama ada Habib Firziq mahu menjadi doktor gigi mereka dan meminta dibelanja aisrkim jika melalui prosedur mencabut gigi.

Seorang pengguna lain menyatakan, doktor dan kakitangan pergigian sememangnya akan meminta pesakit memakan aiskrim selepas prosedur itu kerana ia membantu menghentikan darah.

Berita Harian X