Rabu, 27 Disember 2023 | 3:52pm

Lelaki OKU dituduh curi tabung surau RM3,500

MELAKA: Lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, kerana memecah masuk dan mencuri duit tabung surau mengakibatkan kerugian RM3,500, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Saifullah Ismail@Mukhtar, 34, berasal dari Kemaman, Terengganu pada mulanya mengaku bersalah sebaik dibacakan dan diterangkan pertuduhan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Namun, selepas mengaku fakta kes dan merayu hukuman denda, tertuduh tiba-tiba menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas diterangkan semula oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bahawa hukuman penjara adalah wajib bagi kesalahan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit dalam tabung Surau Az-Zilal di Taman Bukit Beruang Utama, kira-kira jam 12.45 tengah hari 20 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda jika disabitkan. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda atau sebat.

Berikutan tertuduh mengaku tidak bersalah, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan RM9,000 dengan seoran penjamin.

Mohd Saifullah yang mengalami kecacatan pada kaki kanan dan tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana menanggung isteri dan dua anak berusia setahun dan dua tahun.

Katanya, isteri dan abangnya hadir dari Kemaman untuk menjaminnya keluar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 dengan dua penjamin serta syarat seorang daripadanya mesti menetap di Melaka serta diperintah melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sekali sebulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Februari 2024.

Mohd Saifullah didakwa mencuri duit tabung surau bulan lalu. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohd Saifullah didakwa mencuri duit tabung surau bulan lalu. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X