Rabu, 27 Disember 2023 | 7:35am
Khairul Aming membuktikan menerusi sebuah video yang memaparkan perjalanan dan pengalamannya berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram (kg). - Foto Instagram
Khairul Aming membuktikan menerusi sebuah video yang memaparkan perjalanan dan pengalamannya berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram (kg). - Foto Instagram

Pernah dikritik hasilkan video masakan tidak sihat, Khairul Aming hilang 20kg

KUALA LUMPUR: Pernah dikritik mempromosikan video masakan tidak sihat, Khairul Amin Kamarulzaman mahu seimbang dalam 'mempengaruhi' orang ramai khususnya netizen apabila turut mempromosikan budaya hidup sihat dalam video dihasilkannya di media sosial.

Digelar sensasi alam maya, terkenal dengan jolokan Khairul Aming, beliau berjaya membuktikan dengan sebuah video yang memaparkan perjalanan dan pengalamannya berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram (kg).

Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, usahawan berusia 31 tahun itu mendedahkan mula memberi tumpuan aspek kesihatan sejak awal tahun ini lagi.

Mengulas lanjut, dia menekankan betapa pentingnya pengambilan makanan yang seimbang sebelum menjadikan senaman di gimnasium misalnya sebagai aktiviti rutin.

"Awal 2023, saya dapat kesedaran untuk sihatkan balik badan. (Sebelum ini) saya tak jaga pemakanan dan tak bersenam sehingga baju semua sudah ketat. Jalan pun semput.

"Jadi saya ambil keputusan untuk jaga pemakanan dulu dan cuba masak ikut mana yang boleh saya masak.

"Saya masih makan nasi cumanya saya timbang terlebih dahulu untuk pastikan kalori defisit setiap hari.

"Bermula Februari (lalu), saya mula pergi gimnasium. Sebab tak tahu apa-apa jadi (seperti) sakit tangan. April (lalu) saya upah jurulatih untuk (ajar) cara bersenam yang betul," katanya.

Dengan pencapaian itu, Khairul Aming berkata, beliau gembira dan berpuas hati apabila misinya tercapai.

Justeru, dia mengajak pengikutnya untuk menjaga kesihatan dan memulakan gaya hidup sihat pada tahun depan sebagai azam baharu.

"Rasa gembira bila kita keluar rumah tak mengah. Bagi saya itu satu kemajuan yang saya sangat puas hati.

"Kali ini saya nak ajak semua sama-sama jaga kesihatan (pada) 2024. Kalau nak bersenam mulakan senaman. Kalau nak jaga makan, jagalah tapi yang penting kena sabar kerana perkara ini bukan terjadi satu malam.

"Tahun ini (turun berat badan) 20kg selepas mulakan misi nak sihat 2023. Alhamdulillah misi tercapai tapi perjalanan masih jauh. Doakan saya istiqamah," katanya.

Berita Harian X