Rabu, 27 Disember 2023 | 1:31am
(Foto hiasan) Antara kawasan ditenggelami banjir di Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI
(Foto hiasan) Antara kawasan ditenggelami banjir di Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI

Banjir: 4 kampung di Hulu Dungun terputus bekalan elektrik

DUNGUN: Kira-kira 1,000 penduduk empat perkampungan di Hulu Dungun, di sini, terputus bekalan elektrik selepas beberapa pencawang elektrik ditenggelami banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata keadaan banjir menyebabkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup bekalan elektrik secara berperingkat sejak petang semalam.

Beliau berkata, empat kampung terbabit ialah Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Tepus serta Rantau Panjang.

"Penduduk diharap bersabar kerana pihak TNB sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.

"Pihak TNB juga berusaha menghantar generator ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang terbabit," katanya.

Susulan itu, Ghazali berkata, pihaknya terpaksa menggunakan radio amatur untuk berkomunikasi dengan penduduk di kawasan terjejas.

"Jalan utama ke Kampung Kuala Jengai serta Kampung Jongok Batu tidak dapat dilalui, dan bekalan makanan kepada mangsa banjir terpaksa dihantar dengan menggunakan bot.

"Setakat ini, keadaan banjir di Hulu Dungun terkawal dan bekalan makanan sedia ada masih mencukupi. Kita bersedia menghantar bekalan makanan tambahan jika diperlukan," katanya.

Beliau memaklumkan, banjir di Hulu Dungun turut menyebabkan Balai Polis Kuala Jengai, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan Pondok Polis Pasir Raja dinaiki air.

Setakat malam tadi, katanya, 31 PPS diaktifkan di daerah Dungun bagi menempatkan 2,640 mangsa banjir daripada 717 keluarga, manakala di Hulu Dungun pula 15 PPS dibuka membabitkan 1,200 mangsa banjir.

Berita Harian X