Selasa, 26 Disember 2023 | 8:22pm
PPS SK Gual To’Deh turut dilanda banjir susulan limpahan air Sungai Golok. - Foto ihsan penduduk
PPS SK Gual To’Deh turut dilanda banjir susulan limpahan air Sungai Golok. - Foto ihsan penduduk

PPS dinaiki air cecah paras pinggang, tiada bekalan elektrik

RANTAU PANJANG: Lebih 1,000 mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh terpaksa bersesak susulan premis itu turut dinaiki air sejak tengah malam tadi.

Selain banjir mencecah paras pinggang sekitar 0.5 meter (m), PPS itu juga bergelap kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik sejak malam kelmarin atas faktor keselamatan.

Penduduk dari Kampung Tersang, Mohd Irwan Faizal, 40, berkata paras air naik mendadak tengah malam tadi berikutan limpahan air Sungai Golok, menyebabkan mangsa banjir yang berada di tingkat bawah terpaksa naik ke tingkat dua dan tiga.

"Oleh itu, kami terpaksa tidur berhimpit kerana ada ramai mangsa banjir, manakala aras bawah pula tidak boleh digunakan.

"Malah, kami juga terpaksa mengharungi air setiap kali mahu mengambil makanan di tingkat bawah, dan boleh dikatakan hampir setiap masa kami berada dalam keadaan basah.

"Allah SWT saja yang tahu berat ujian bencana kali ini. Rumah ditenggelami banjir, PPS tempat berlindung pun dinaiki air dan tiada bekalan elektrik," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suriani Daud, 50, berkata ada mangsa terpaksa menumpang di pusat tahfiz berdekatan PPS kerana ruang yang tinggal di sekolah itu agak terhad.

"Sepanjang tiga kali banjir tahun ini, ini kali pertama PPS SK Gual To'Deh dilanda banjir hingga paras pinggang.

"Keadaan kami agak terbatas dengan elektrik yang tiada dan sukar untuk berhubung dengan pihak luar," katanya.

Berita Harian X