Selasa, 26 Disember 2023 | 12:11pm
 Zalina bersama bayinya berusia dua bulan turut dipindahkan ke PPS SK Pulai Chondong selepas rumah keluarganya dinaiki banjir. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Zalina bersama bayinya berusia dua bulan turut dipindahkan ke PPS SK Pulai Chondong selepas rumah keluarganya dinaiki banjir. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

'Balik kampung nak tunjuk anak bongsu baru lahir, akhirnya kami dipindahkan ke PPS'

MACHANG: Sepasang suami isteri tidak menyangka kepulangan untuk memperkenalkan bayi mereka yang berusia dua bulan kepada keluarga di kampung bertukar sebaliknya apabila rumah keluarga di Kampung Bukit dilanda banjir dan mereka semua diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Zalina Zakaria, 39, berkata pada Sabtu lalu dia bersama suami dan dua anaknya yang tinggal di Klang, Selangor pulang ke kampung selepas habis berpantang.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka kediaman keluarganya itu dilanda banjir yang menyebabkan mereka sekeluarga turut berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong pada awal pagi kelmarin.

"Hujan lebat yang berterusan sejak jam 6 pagi itu menyebabkan perkarangan rumah keluarga di Kampung Bukit dinaiki air separas pinggang, manakala di dalam rumah pula paras buku lali.

"Bimbang dengan keselamatan diri menyebabkan kami sekeluarga mengambil keputusan berpindah lebih awal dengan dibantu pasukan keselamatan.

"Ini adalah pengalaman pertama saya berada PPS dan keputusan diambil kerana memikirkan keselamatan anak termasuk bayi yang kini berusia dua bulan.

"Mujurlah sejak berada di PPS ini, bayi kami, Zafeera Safiyya Mohd Yusri tidak banyak meragam," katanya ketika ditemui di PPS SK Pulai Chondong.

Zalina berkata, mereka berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan PPS termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain yang terbabit menjaga makan minum semua penghuni dengan baik.

"Saya berharap hujan cepat reda dan banjir di penempatan kami segera pulih kerana tidak sabar mahu pulang ke rumah dan menghabiskan cuti persekolahan bersama keluarga sebelum pulang ke Klang," katanya.

Berita Harian X