Selasa, 26 Disember 2023 | 7:24am
Air Sungai Kelantan hampir melimpahi tebing di Tambatan Diraja Kota Bharu, pagi ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Air Sungai Kelantan hampir melimpahi tebing di Tambatan Diraja Kota Bharu, pagi ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sungai Golok rekod paras tertinggi 11.03 meter

KOTA BHARU: Air Sungai Golok berada pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 meter (m).

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan berkata, paras air Sungai Golok setakat ini paling tinggi pernah direkodkan ialah 10.84 m pada 2014.

"Tahun ini, paras air sungai itu lebih tinggi berkemungkinan disebabkan hujan yang berterusan sekali gus menyebabkan perkampungan berhampiran dilanda banjir," katanya.

Sementara itu, laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan, empat sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya, lima sungai paras amaran dan tujuh sungai paras waspada.

Berikutan itu juga, ratusan orang ramai yang baru keluar dari Thailand terperangkap di hadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang selepas laluan keluar dinaiki air hampir satu meter.

Susulan itu, kebanyakan mangsa terpaksa menumpang kenderaan berat seperti lori ataupun menunggu kenderaan agensi penyelamat disebabkan arus deras.

Seorang mangsa, Nazman Nawawi, 53, berkata dia terperangkap selama dua jam di pekarangan ICQS dan akhirnya meminta bantuan seorang pemandu lori untuk pulang ke Pasir Mas.

"Saya pulang ke Patani, Thailand, dua hari yang lalu dan tidak menyangka banjir besar akan melanda. Biasanya, kawasan ini mengambil masa dua atau tiga hari baru naik air paras tinggi.

"Alhamdulillah, saya sekeluarga selamat walaupun kereta terpaksa ditinggalkan di kawasan ICQS," katanya ketika ditemui di hadapan ICQS Rantau Panjang, semalam.

Bagi Mashitah Rahman, 35, dia tidak menyangka percutiannya ke Hatyai berakhir dengan pengalaman menakutkan apabila terperangkap di ICQS selama empat jam.

"Saya dapat maklumat Rantau Panjang banjir tetapi tidak menyangka ia seteruk ini, malah Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas juga sudah digenangi air. Oleh itu, saya mengambil keputusan tidur dahulu di rumah tumpangan selamat, sebelum pulang ke Pasir Puteh," katanya.

Susulan Sungai Golok merekodkan paras air tertinggi, Pekan Rantau Panjang lumpuh selain kebanyakan kawasan di Rantau Panjang tenggelam.

Sehingga kini sebanyak 26 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan menempatkan 7,210 mangsa sehingga pagi ini.

Bagaimanapun, sehingga pagi ini paras air Sungai Golok masih bertahan pada paras 11.03 m.

Penduduk Kampung Bonggol Kulim meredah banjir sambil mendukung bayi untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di Pasir Mas. - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Bonggol Kulim meredah banjir sambil mendukung bayi untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di Pasir Mas. - Foto BERNAMA

Penduduk Kampung Bonggol Kulim, Rantau Panjang membawa barangan keperluan ketika berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di Pasir Mas. - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Bonggol Kulim, Rantau Panjang membawa barangan keperluan ketika berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di Pasir Mas. - Foto BERNAMA

Paras air Sungai Golok, Rantau Panjang yang menunjukkan trend meningkat menyebabkan perkampungan berhampiran dilanda banjir. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Paras air Sungai Golok, Rantau Panjang yang menunjukkan trend meningkat menyebabkan perkampungan berhampiran dilanda banjir. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Berita Harian X