Isnin, 25 Disember 2023 | 4:49pm
Kampung Kubang Kuau dan Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang dinaiki air selepas limpahan Sungai Golok. - Foto BH/Nik Abdullah Nik Omar
Kampung Kubang Kuau dan Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang dinaiki air selepas limpahan Sungai Golok. - Foto BH/Nik Abdullah Nik Omar

Makin banyak kawasan tenggelam di Kelantan, Terengganu

KOTA BHARU: Semakin banyak kawasan di Kelantan dan Terengganu ditenggelami banjir dan jumlah mangsa dipindahkan bertambah petang ini, berbanding pagi tadi.

Machang menjadi daerah terbaru banjir di Kelantan, menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 5,155 orang 4 petang ini, berbanding pagi tadi.

Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, semua mangsa daripada 1,628 keluarga berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai.

Laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan, empat sungai utama masih melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Di Kuala Terengganu, mangsa banjir di enam daerah di negeri ini meningkat kepada 2,903 orang berbanding 2,643 orang jam 2 petang tadi.

Penduduk meredah banjir menuju ke Pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat di Kampung Shukor, Hulu Dungun. - Foto BH/Ghazali Kori
Penduduk meredah banjir menuju ke Pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat di Kampung Shukor, Hulu Dungun. - Foto BH/Ghazali Kori

Sehingga jam 4 petang ini, seramai 2,903 mangsa daripada 803 keluarga berlindung di 53 PPS di enam daerah di negeri ini.

Daerah Dungun mencatatkan jumlah perpindahan tertinggi apabila 1,220 daripada 319 keluarga berlindung di 20 PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri memaklumkan, seramai 768 mangsa daripada 257 keluarga berlindung di 13 PPS di daerah Hulu Terengganu.

Jumlah mangsa banjir di Setiu seramai 302 mangsa daripada 85 keluarga di lapan PPS, manakala di Kemaman seramai 361 daripada 113 keluarga di enam PPS.

Di Besut, mangsa banjir meningkat kepada 240 daripada 53 keluarga di enam PPS, manakala mangsa banjir di Marang kekal kepada 12 mangsa daripada tiga keluarga di satu PPS.

Keadaan banjir menunjukkan trend meningkat dengan hujan kadang-kadang lebat.

Penduduk meredah banjir untuk menghantar makanan kepada jiran di Kampung Matang, Hulu Terengganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penduduk meredah banjir untuk menghantar makanan kepada jiran di Kampung Matang, Hulu Terengganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Berita Harian X