Ahad, 24 Disember 2023 | 10:08pm
ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem mengenakan kostum Superman dan berkain pelikat bergambar dengan penduduk. - Foto FB IZZAT BIN ROSLAN
ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem mengenakan kostum Superman dan berkain pelikat bergambar dengan penduduk. - Foto FB IZZAT BIN ROSLAN

YB Duyong jadi 'Superman' berkain pelekat

MELAKA: Lebih 2,300 peserta pelbagai lapisan masyarakat berpakaian tradisional dan kostum pelbagai watak menjayakan Larian Budaya Duyong Kita, membabitkan laluan sejauh 3.2 kilometer, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem, berkata program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut membabitkan peserta paling muda berusia lapan bulan hingga paling tua, 80 tahun.

"Acara bermula 7.30 pagi mendapat sambutan menggalakkan, bukan hanya peserta dalam kawasan Duyong, malah ada datang dari sekitar negeri ini, selain pelancong dari luar semata-mata untuk menyertai larian ini.

"Terdapat empat tempat pemeriksaan utama yang mengetengahkan empat budaya berbilang kaum. Hasrat kita untuk memupuk semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat yang sedia terjalin seiring objektif Malaysia MADANI di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Terdahulu, beliau yang mengenakan kostum watak adiwira terkenal Superman dan berkain pelikat turut menyertai larian itu dengan majlis pelepasan disempurnakan EXCO Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Majlis pelepasan turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem bersama sebahagian peserta Larian Budaya Duyong Kita. - Foto FB MOHD NOOR HELMY
ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem bersama sebahagian peserta Larian Budaya Duyong Kita. - Foto FB MOHD NOOR HELMY

Mohd Noor Helmy berkata, penganjuran larian itu juga bertujuan menghangatkan suasana sempena majlis perasmian sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada 31 Disember ini.

Katanya, pihaknya berhasrat meneruskan program larian itu sebagai acara tahunan bagi memperbanyak lagi aktiviti bersama masyarakat dalam kawasan Duyong.

Pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik turut disediakan kepada peserta seperti seekor kambing, motosikal, basikal, peralatan elektrik dan lain-lain.

Peserta, Laila Kamil, 69, berkata usia bukan penghalang untuknya menyertai larian itu kerana program terbabit sangat menarik, selain beliau juga aktif menyertai program Persatuan Joging Melaka Cergas pada setiap minggu.

"Hari ini saya bawa tiga cucu menyertai larian ini. Ia program yang bagus kerana selain membudayakan amalan gaya hidup sihat, dapat mengeratkan silaturahim," katanya.

Seorang lagi peserta, P Puspaalatha, 31, berkata, beliau mengetahui program itu melalui media sosial dan seronok serta teruja menyertai acara yang jarang diadakan di kawasan tempat tinggalnya sebelum ini.

"Saya bawa ibu dan ayah turut serta. Program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat, khususnya dalam kawasan Duyong," katanya berharap acara itu diteruskan dengan mengangkat tema berindentitikan Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X