Ahad, 24 Disember 2023 | 1:20pm
Mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu terus meningkat. - Foto fail NSTP
Mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu terus meningkat. - Foto fail NSTP

Mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu terus meningkat

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa di Terengganu meningkat kepada 543 orang dengan Setiu dan Hulu Terengganu menjadi daerah terbaru dilanda banjir gelombang ketiga yang bermula hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari, semua mangsa daripada 159 keluarga berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Selain Setiu dan Hulu Terengganu, dua lagi daerah yang terjejas adalah Dungun dan Marang.

Pagi tadi, hanya tiga PPS dibuka masing-masing dua di daerah Dungun dan satu di Marang bagi menempatkan 102 penduduk daripada 25 keluarga.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 303 penduduk daripada 84 keluarga di empat PPS.

Mereka berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Balai Raya Bembam dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Di Marang, jumlah mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila kekal seramai 12 orang daripada tiga keluarga berlindung di Dewan Sivik Wakaf Tapai.

Sementara itu, di Setiu, seramai 43 penduduk dipindahkan ke dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Seladang dan SK Kampung Besut.

PPS Balai Raya Kampung Seladang diaktifkan jam 7.30 pagi menempatkan seramai 25 penduduk manakala seramai 18 mangsa lagi dipindahkan di SK Kampung Besut yang dibuka pada jam 9 pagi.

Di Hulu Terengganu, seramai 185 penduduk membabitkan 62 keluarga berada di tiga PPS.

Sehingga jam 1 tengah hari, hujan masih melanda di beberapa kawasan di Terengganu.

Tinjauan di Kampung Kepah. Banjir gelombang ketiga melanda Terengganu pagi ini dengan Marang dan Dungun menjadi daerah terjejas setelah hujan berterusan sejak pagi semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Tinjauan di Kampung Kepah. Banjir gelombang ketiga melanda Terengganu pagi ini dengan Marang dan Dungun menjadi daerah terjejas setelah hujan berterusan sejak pagi semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Berita Harian X