Ahad, 24 Disember 2023 | 8:32am

Perang habis-habisan koloni warga asing

SAMPAI hari ini, Belalang musykil bagaimana warga asing, sama ada sah atau tidak, boleh mewujudkan koloni mereka dengan selamba di lokasi atau bandar tertentu negara kita dan kebal dengan tindakan pihak berkuasa.

Belalang perhatikan, serbuan atau operasi memburu warga asing ini lazimnya dilakukan secara bermusim atau apabila orang awam membuat aduan atau laporan. Operasi di Jalan Silang di ibu negara baru-baru ini mungkin dibuat selepas mendapat aduan awam.

Foto hiasan - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Foto hiasan - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Melihat kepada normalisasi warga asing menonjolkan keberadaan mereka di pusat tumpuan ramai, terutama di ibu negara atau pusat perniagaan, perdagangan atau premis sehingga wujud koloni mereka sudah tentu menimbul persoalan betapa bebas dan 'berlagaknya' mereka di negara ini.

Fenomena yang berlaku ini mungkin ada kaitannya dengan sikap terbuka rakyat kita terhadap bangsa asing mencari rezeki atau berdagang di negara ini. Namun, kebebasan mereka sepatutnya dibatasi dengan tindakan. Koloni warga asing ini perlu dihapuskan bukan kerana menafikan hak asasi manusia, tetapi demi keadilan dan hak bangsa pribumi di negara ini.


Mansuh DLP, perkasa modul pendidikan sedia ada

Apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati, ada murid di sekolah melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda, Belalang fikir pasti ada benda tidak kena dalam program itu.

Bagaimana satu program pendidikan diiktiraf KPM bagi meningkatkan nilai tambah murid dalam pelajaran, tetapi gagal menguasai subjek teras dalam sistem pendidikan iaitu bahasa Melayu selain bahasa ibunda.

Walaupun DLP diakui mampu mengangkat kualiti pendidikan seseorang murid, tetapi jika hasilnya hanya memberi manfaat kepada segolongan kecil pelajar saja, Belalang fikir lebih baik KPM mansuhkan saja dan gantikan dengan modul lain memenuhi citra kebangsaan atau kekal dengan sistem sedia ada tetapi ditambah baik mana yang perlu.

Apatah lagi ketika ini, tiada peperiksaan umum berpusat seperti Ujian Pentaksiran Sekolah Rendah (UPSR) diwujudkan, lebih baik KPM tumpu saja kepada usaha memperkasa sistem pembelajaran dan pengajaran (PdP) bagi memberikan pendidikan adil, inklusif dan mudah kepada murid sama ada sekolah kebangsaan (SK) atau vernakular.

Berita Harian X