Sabtu, 23 Disember 2023 | 2:50pm
Bangunan Wisma Putra.- Foto fail
Bangunan Wisma Putra.- Foto fail

Malaysia alu-alukan resolusi PBB mengenai Gaza, seru bantuan kemanusiaan segera

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menerima pakai resolusi untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tanpa gesaan gencatan senjata, semalam.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan, berkata UNSC dalam resolusi berkenaan menyeru langkah segera untuk membenarkan bantuan kemanusiaan segera dilakukan secara selamat tanpa halangan.

"Perkara berkenaan perlu diperluaskan serta-merta serta mewujudkan syarat bagi menghentikan permusuhan yang mampan.

"Resolusi berkenaan juga menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menyatakan kekesalan terhadap serangan ke atas orang awam dan struktur awam termasuk semua tindakan keganasan dan permusuhan terhadap orang awam," katanya.

Kenyataan berkenaan menyatakan, resolusi itu turut menuntut pembebasan segera kepada semua tebusan dengan tanpa syarat serta memastikan akses kemanusiaan diberi bagi menangani keperluan perubatan kepada semua tebusan.

"Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga diminta untuk melaporkan pelaksanaan resolusi berkenaan dalam laporan tetap kepada UNSC.

"Malaysia menggesa semua pihak untuk mematuhi dan melaksanakan keputusan resolusi Majlis Keselamatan dan semua resolusi berkaitannya mengenai Wilayah Palestin mengikut prinsip Piagam PBB.

"Malaysia juga mengulangi tuntutan bagi gencatan senjata segera dilakukan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dapat dilakukan segera dengan selamat dan tanpa halangan," katanya.

Katanya, tindakan kejam serta keji terhadap rakyat Palestin tidak wajar dan perlu dihentikan serta-merta.

"Jenayah tanpa henti yang dilakukan oleh Israel tidak boleh diteruskan tanpa sebarang hukuman kepada mereka.

"Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendirikan negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqadis Timur sebagai ibu kota," katanya.

Berita Harian X