Jumaat, 22 Disember 2023 | 6:16pm
Antara mangsa yang terbabit kes penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat di hadapan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Antara mangsa yang terbabit kes penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat di hadapan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Tipu pakej umrah: Mangsa mahu KPDN ambil tindakan tegas

PUTRAJAYA: Seramai 47 mangsa penipuan pakej umrah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pelancongan selepas gagal membayar ganti rugi seperti diminta Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Kumpulan yang dibawa Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu juga mahu supaya syarikat terbabit dikenakan tindakan undang-undang lebih tegas kerana didakwa sudah memperdayakan ramai mangsa lain sebelum ini.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata TTPM sudah menganugerahkan 'award' kepada mangsa terbabit pada Oktober lalu susulan aduan yang dikemukakan.

"Sehingga hari ini, pihak syarikat masih gagal membayar ganti rugi seperti diminta TTPM dan mereka seolah-olah ingkar dengan award yang diberikan tribunal.

"Jadi ke mana hala tuju semua mangsa ini?. Mereka hanya mahukan keadilan, malah syarikat ini juga dilihat seperti selesa dan tidak takut walaupun sudah memperdayakan mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membawa mangsa untuk menyerahkan surat aduan kepada KPDN di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, kegagalan syarikat terbabit ke atas award itu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"MHO dimaklumkan ada mangsa yang membuat aduan mengenai syarikat terbabit diberikan 'refund' menggunakan cek, namun apabila mangsa hendak tunaikan cek itu, rupa-rupanya ia adalah cek tendang.

"Jadi mangsa ini berasakan mereka diperdaya dan diperbodohkan oleh pihak syarikat," katanya.

Justeru, beliau meminta KPDN menguatkuasakan Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 ke atas syarikat terbabit dan melaksanakan award seperti diminta TTPM kepada mangsa dengan segera.

Sementara itu, mangsa, Norizan Mohd Ali, 46, mendakwa dia kerugian RM35,000 selepas mendaftar pakej umrah bersama enam lagi ahli keluarganya dengan syarikat terbabit.

Katanya, syarikat terbabit menjanjikan bahawa mereka sekeluarga akan berangkat ke Tanah Suci pada awal tahun ini, namun ditunda dari satu bulan ke satu bulan.

"Kami mendaftar pakej umrah dengan syarikat ini sejak Disember 2022 dan pada Februari lalu, kami mendapat tahu syarikat ini mula bermasalah.

"Pada mulanya kami berfikir positif dan berharap kami dapat menunaikan umrah di Tanah Suci, namun sehingga hari ini, tidak ada sebarang berita sehinggalah kami membuat laporan polis dan akhirnya mengemukakan aduan kepada TTPM," katanya.

Seorang lagi mangsa, Aliza Aziz, 60, mendakwa sudah membayar RM49,750 pakej umrah lima orang termasuk untuk menaiki kereta api laju Haramain.

"Kami sudah bayar semua. Setiap kali saya bertanyakan kepada syarikat terbabit bila akan bayar ganti rugi, mereka memberikan pelbagai jawapan, konon tunggu dana daripada syarikat lain dan bermacam alasan lain.

"Saya hanya mahu syarikat ini dihukum kerana sudah memperdayakan orang ramai," katanya.

Berita Harian X