Khamis, 21 Disember 2023 | 6:03pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Isu sekolah vernakular, 2 NGO fail kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla ketika dihubungi berkata, Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) memfailkan notis permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan petang tadi melalui Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil.

Firma guaman itu melalui satu kenyataan memaklumkan, permohonan kebenaran terbabit menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, manakala 10 responden lain terdiri NGO termasuk kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong serta MIC dan MCA.

Katanya, MAPPIM dan GAPENA memfailkan notis permohonan berdasarkan isu perlembagaan dan perundangan berhubung kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh Malaysia, melalui Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan).

Jelasnya, pemfailan notis usul itu perlu dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan serta tidak disensasikan sebagai isu perkauman.

Pada 23 November lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Supang Lian bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan, sebulat suara menolak rayuan GAPENA, MAPPIM, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

MAPPIM, GAPENA dan ISMA merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 29 Disember 2021 yang memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Dalam penghakimannya ketika itu, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, terdapat lebih daripada 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara, dengan kira-kira setengah juta pelajar terdiri daripada komposisi kaum yang berbeza.

Sementara itu, i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Mohd Abazafree Mohd Abbas pada 29 Mei tahun lalu, yang turut memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan.

Pada Disember 2019, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MAPPIM, GAPENA dan ISMA memfailkan saman pemula terhadap beberapa pihak termasuk kerajaan Malaysia, Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia dan Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia, dengan memohon perisytiharan bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Seksyen 28 menyatakan tertakluk kepada akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah itu.

Berita Harian X