Khamis, 21 Disember 2023 | 3:47pm

RM25 juta untuk blok kediaman baharu UPSI

TANJUNG MALIM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk membina 18 blok tambahan kolej kediaman pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika sesi Temu Anwar dengan kira-kira 5,000 mahasiswa UPSI di Dewan Tuanku Canselor selepas merasmikan Anugerah Buku Negara 2023 di institusi pendidikan itu.

"Kediaman yang ada hanya boleh menampung 7,804, (iaitu) 36 peratus daripada lebih 31,000 pelajar di sini, ini kadar terendah berbanding IPTA (institusi pengajian tinggi awam) seluruh negara, di IPTA lain 60 peratus.

"Bila saya dengar maklumat ini, langkah segera perlu diambil. Untuk tambah kapasiti kolej kediaman, belanjanya saya luluskan RM25 juta," katanya disambut tepukan gemuruh dari mahasiswa dan kakitangan UPSI.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Saraani Mohamad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Anwar berkata projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.

Katanya beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan agar peruntukan itu diluluskan sebelum akhir tahun ini juga.

Terdahulu, Zambry yang melakukan lawatan kerja di Kolej Kediaman Ungku Omar, UPSI pada Sabtu lalu berkata KPT akan berbincang dengan pihak institusi pendidikan tinggi seluruh negara bagi mengenal pasti universiti yang memerlukan penyelesaian berkaitan masalah kediaman pelajar.

Semasa lawatan itu, Zambry mendengar keluhan serta masalah yang dihadapi pelajar berkaitan kediaman di dalam universiti itu.

– BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.
Berita Harian X