Khamis, 21 Disember 2023 | 3:20pm
Ramanan ketika melakukan kunjungan hormat ke TEKUN Nasional. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Ramanan ketika melakukan kunjungan hormat ke TEKUN Nasional. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

MITRA kekal bawah JPM atau sebaliknya, Ramanan kata tunggu PM umum

KUALA LUMPUR: Status Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sama ada kekal di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau sebaliknya, akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata sehingga itu beliau akan menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA seperti biasa sehingga ada pengumuman daripada Perdana Menteri.

Beliau juga, katanya meletakkan kepercayaan terhadap Perdana Menteri dalam memuktamadkan perkara itu.

"Memang Perdana Menteri akan buat satu pengumuman dalam masa terdekat, tunggu pengumuman beliau," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa pentadbiran MITRA akan kembali di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Selain itu, Ramanan berkata rakyat perlu mengambil peluang ditawarkan TEKUN Nasional untuk menjadi usahawan yang lebih berdaya saing.

"Untuk tahun ini sahaja, TEKUN memberikan bantuan perniagaan kepada usahawan India sebanyak RM49 juta dengan jumlah keseluruhan bantuan perniagaan diberikan mencecah RM1 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Ini satu pencapaian baik dengan jumlah pembiayaan meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Beliau berkata, TEKUN juga akan membuka dua lagi cawangan di Sabah tahun hadapan menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara sebanyak 173 cawangan.

Sementara itu, Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata TEKUN merancang untuk meningkatkan lagi pembiayaan dan memberi ruang lebih luas kepada peserta dalam pembiayaan.

"Kita sudah sasarkan tahun hadapan peruntukan pembiayaan sekitar RM1.15 bilion bagi pembiayaan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X